MILAN, 13 Jan – Juraj Kucka dan Giacomo Bonaventura telah menjaringkan gol dalam masa empat minit di separuh masa kedua bagi membantu AC Milan mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Torino dalam aksi Piala Itali, awal pagi tadi.
Kemenangan itu telah menyaksikan Milan menempah tempat bagi pertembungan suku akhir menentang sebuah lagi kelab gergasi Itali, Juventus sekali gus mengulangi pertembungan final pada 2015.
Pada aksi final 2015 itu, Juventus menewaskan Milan untuk mengekalkan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut dalam kempen Piala Itali dan Serie A.
Namun, Milan yang menewaskan Juventus di Doha baru-baru ini untuk memenangi Piala Super Itali memiliki sedikit kelebihan apabila menang kesemua pertembungan Serie A di laman sendiri menentang juara Itali itu.
Pada aksi di San Siro, skuad bimbingan Vincenzo Montella pada awalnya kelihatan bergelut dengan keadaan hujan dan telah mendapati gawang mereka ditembusi menerusi jaringan Andrea Belotti pada minit ke-27.

Penyerang Itali yang dilaporkan menarik minat kelab England, Arsenal namun ditolak Torino, hampir menewaskan penjaga gol Milan, Gianluigi Donnarumma buat kali kedua namun cubaannya diselamatkan Adem Ljajic.
Peluang terbaik Milan tiba pada penghujung separuh masa pertama menerusi re mbatan voli menarik Kucka namun berjaya diselamatkan penjaga gol England, Joe Hart.
Namun kecederaan kepala menimpa Hart telah memaksanya menggunakan lilitan kepala selepas bertembung dengan Gianluca Lapadula pada awal separuh masa kedua.
Milan menyamakan kedudukan pada minit ke-61 apabila gerakan yang dimulakan Suso gagal diselamatkan dengan baik apabila cubaannya ditepis Hart, namun bola jatuh tepat ke kaki Bonaventura yang kemudian membuat hantaran ke Kucka bagi menyempurnakan jaringan.
Tiga minit kemudian, Suso sekali lagi mencipta gerakan umpanan kedua dengan hantarannya tepat menemui Bonaventura yang tidak mempunyai masalah untuk menewaskan Hart. – AFP