Tuesday, October 15, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kudat berpotensi besar sebagai destinasi pelancongan

    KUDAT, 9 Jan – Daerah Kudat berpotensi besar menjadi antara destinasi pelancongan utama di Sabah dan di rantau ini, kata Menteri Tugas-tugas Khas negeri Datuk Teo Chee Kang.

    Beliau berkata daerah berkenaan bukan sahaja memiliki banyak pantai yang cantik termasuk pantai di Simpang Mengayau malah Taman Marin Tun Mustapha yang meliputi kawasan perairan seluas 898,762.76 hektar turut melibatkan daerah Kudat selain Kota Marudu dan Pitas.

    “Kudat juga akan menjadi transit pelancong luar dan dalam negeri apabila perkhidmatan Feri Kudat – Palawan (Filipina) mula beroperasi kelak,” kata Teo yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Tanjung Kapor ketika berucap pada majlis Perhimpunan Tahunan Pemimpin Bersama Ketua-ketua Jabatan  Negeri dan Persekutuan Daerah Kudat malan tadi.

    Menurut Teo, beliau sememangnya berpuas hati dengan pencapaian pembangunan industri  pelancongan di daerah itu yang diraih melalui pelbagai program di bawah penyelarasan Pejabat Daerah Kudat yang dipengerusikan Pegawai Daerahnya, Sapdin Ibrahim.

    “Sekurang-kurangnya daerah Kudat sudah mendapat perhatian dan mula dibanjiri pelancong luar dan dalam negeri sepanjang kempen Tahun Melawat  Kudat 2016/2017 iaitu sejak ia dilancarkan dan diisi dengan pelbagai program sepanjang tahun,” katanya.

    Justeru kata Teo, beliau  amat mengharapkan komitmen dan persefahaman berterusan daripada kalangan pihak agensi dan jabatan kerajaan demi melestarikan pembangunan ekonomi daerah Kudat sekali gus memberi impak pendapatan kepada masyarakat di daerah itu.

    Terdahulu, Pegawai Daerah Kudat, Sapdin berkata  jumlah kedatangan pelancong ke Kudat telah meningkat  daripada 50,000 orang pada tahun 2015 kepada 128,000 pada 2016 dan 182,000 orang pada tahun lepas dan kejayaan itu adalah hasil kerjasama semua agensi kerajaan, swasta serta penganjuran pelbagai aktiviti.

    Antara aktiviti yang dimuatkan dalam kalendar pelancongan Kudat termasuk acara sukan dan rekreasi, persembahan kesenian dan kebudayaan, teater serta Festival Kudat yang diadakan pada bulan Julai setiap tahun.

    “Saya mengharapkan kerjasama berterusan daripada semua jabatan dan agensi kerajaan dan swasta, badan bukan kerajaan dan semua warga Kudat ke arah menjadikan Kudat sebagai sebuah daerah pelancongan masyhur dan terhebat sesuai dengan slogan ‘Kudat Sememangnya Hebat’,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda