Kudung bukan penghalang jadi mekanik

ALOR SETAR – Kegigihan mekanik motosikal orang kelainan upaya (OKU) yang tiada jari menggunakan peralatan seperti spanar, playar dan pemutar skru memang luar biasa.

Kebolehan dimiliki  Mohd Rahmat Abd Somat, 26, atau lebih dikenali sebagai ‘Toyek’ dalam kalangan keluarga dan rakannya itu bertepatan dengan peribahasa ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’ dan wajar diteladani.

Dilahirkan dengan kudung kedua-dua belah tangannya dari pergelangan tangan bukan menjadi penghalang kepada pemuda itu untuk menjadi mekanik sehingga mampu memiliki bengkel  motosikal ‘Toyek Racing’ di Langgar di sini.

“Bengkel ini walaupun jauh dalam kampung, tetapi ketelitian hasil kerja saya membuatkan ramai pelanggan datang untuk mendapatkan perkhidmatan saya,” katanya ketika ditemui Bernama di bengkelnya baru-baru ini.

Mohd Rahmat berkata kerja dilakukan seorang diri dengan bantuan pelbagai jenis mesin yang ada di bengkelnya termasuk mesin kimpalan, mesin pencanai enjin, mesin pemampat dan mesin ‘porting block’.

Mohd Rahmat Abd Somat, 26, yang sejak dari kecil tidak memiliki tapak tangan atau kudung kedua-dua belah tangannya bukan hanya mampu membaiki kerosakan kecil pada motosikal, malah berkebolehan menaik taraf (tuning) prestasi kenderaan itu di bengkel miliknya, Toyek Racing di Langgar. – Bernama

“Tapi kalau ada bahagian motosikal yang sukar untuk dibuka, saya akan meminta bantuan daripada abang untuk melakukannya,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu.

Menurutnya, bengkel tersebut dibuka pada 2008 hasil idea seorang lagi abangnya Allahyarham Abdul Ghamel yang membantunya menyenaraikan peralatan, barangan dan mesin yang perlu ada untuk membuka perniagaan itu.

Selepas abangnya meninggal dunia pada 2010 kerana penyakit kronik Sistemik Lupus Eritematosus (SLE), Mohd Rahmat berkata dia tetap bersemangat untuk meneruskan kerjaya itu, dan menurutnya minatnya terhadap motosikal bermula sejak di bangku sekolah.

“Sejak di Tingkatan Dua saya telah menyimpan duit diberikan ibu dan ayah untuk belanja sekolah, selain membantu mak menjual nasi lemak dan kacang dan selepas sekolah saya akan ke sebuah bengkel di Pekan Jabi belajar kenal bahagian enjin motosikal, cara membaiki motosikal serta cara-cara memegang peralatan,” katanya.

Katanya, dengan duit simpanan yang disimpan sejak zaman persekolahan dan bantuan daripada ahli keluarga serta Jabatan Kebajikan Masyarakat, beliau berjaya mengumpul lebih RM30,000 untuk membuka bengkel dan membeli peralatan yang diperlukan.

“Peralatan dan mesin-mesin yang saya beli adalah barangan terpakai yang hendak dilupuskan oleh pihak kilang dan saya membelinya dengan harga jauh lebih murah daripada harga asal,” kata lulusan diploma Universiti Teknologi MARA, Kampus Merbok itu.

Mengulas mengenai pandangan masyarakat terhadapnya, Mohd Rahmat berkata ada segelintir yang memandang rendah terhadap keupayaannya, namun semua itu tidak membuatnya berkecil hati, sebaliknya sentiasa berfikiran positif dan menanam semangat untuk tidak mahu menyusahkan sesiapa demi mencari pendapatan sendiri.

“Pernah ada pelanggan datang ke bengkel saya untuk baiki motosikalnya, tapi selepas dia tengok fizikal saya dia tak jadi buat lalu dia balik.

“Ada juga orang memberi nasihat kepada saya supaya berhenti membaiki motosikal dan mencari pekerjaan lain kerana pekerjaan ini berbahaya …bahaya ini tak semestinya berlaku kepada OKU malah orang normal pun boleh berlaku kalau cuai,” katanya. – Bernama