KUFC akan bincang isu gaji pemain

PASIR MAS, 19 APRIL Kelab bola sepak Kelantan United (KUFC) akan berbincang dengan pemain berhubung pembayaran gaji sekiranya penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan bagi tempoh yang lama.

Presidennya, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata setakat ini pihaknya masih membayar penuh gaji pemain seperti terkandung dalam kontrak.

“Sekiranya tempoh PKP berterusan, kita mungkin melihat semula soal gaji pemain. Kita akan membuat penilaian secara keseluruhan termasuk dari segi kewangan persatuan…kita akan berbincang dengan pemain dan jurulatih sebelum keputusan dibuat.

“Setakat ini tiada pemotongan gaji pemain dan barisan jurulatih walaupun saingan Liga Malaysia (Liga-M) ditangguhkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Kutipan Hasil Projek Kelompok Pemulihan Tanah Terbiar di Kampung Slow Terliar, Pasir Mas, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengambil keputusan menangguhkan perjalanan Liga-M yang bermula penghujung Februari lepas, susulan penularan wabak COVID-19. – Bernama