Sunday, April 21, 2024
25 C
Brunei

    -

    Kuih tradisional lupis tetap popular

    YOGYAKARTA, INDONESIA – Ketika cahaya samar-samar fajar menyingsing menyinari bandar Indonesia yang terkenal dengan makanan gerai tepi jalan, barisan panjang pelanggan yang mengantuk membengkang-bengkok melalui jalan raya sempit menantikan kemunculan seorang legenda masakan tempatan.

    Jam menandakan pukul 5 pagi di Yogyakarta dan dalam keheningan pagi muncul seorang wanita berbadan kecil dan memakai kain sarong membonceng sebuah motosikal hitam.

    Dia turun perlahan-lahan, memegang ketat sebuah bakul yang mengandungi kuih-muih manis yang telah dijualnya selama lebih setengah abad.

    Kini berusia 76 tahun, resipi kuih Mbah Satinem merupakan rahsia hab kebudayaan Indonesia unik yang tidak diketahui ramai namun hari ini menjadi sensasi masakan selepas meraih kepopularan dalam siri rancangan Netflix 2019 bertajuk ‘Street Food Asia.’

    Saban hari, dia membuka gerainya sebelum mata hari terbit dan duduk membongkok di depan sebuah meja untuk menyediakan dan menyajikan kuih-muih pasar tradisional yang dikenali sebagai jajan pasar.

    Mbah Satinem berjalan membongkok ketika dia tiba untuk menjual lupis di gerainya. – AFP
    Pelanggan yang menunggu mengerumuni Mbah Satinem ketika dia menyediakan lupis di gerainya di Yogyakarta. – AFP

    Mbah Satinem menyediakan lupis, kuih tradisional manis yang dibuat daripada pulut dan disajikan bersama kelapa parut dan gula Melaka di gerainya di Yogyakarta. – AFP

    Terpamer di atas daun pisang adalah pelbagai jenis snek termasuk kuih-muih manis dikenali sebagai lupis yang dibuat daripada beras pulut.

    Disajikan bersama lupis adalah masakan terkenal, tiwul, yang dibuat daripada tepung ubi kayu, gula melaka dan cenil, jeli atau agar-agar tepung ubi kayu berbentuk cacing.

    “Saya telah menjual lupis untuk tempoh masa yang amat lama, tidak ada apa-apa yang telah berubah,” katanya dari gerai yang dikendalikannya sejak tahun 1963.

    “Lupis dan saya sudah ditakdirkan bersama,” tambahnya berseloroh, sambil ketawa kecil.

    Mbah Satinem memotong lupis dengan benang nilon, meletakkannya dengan teliti di atas daun pisang sebelum menitiskan gula Melaka pekat serta menabur kelapa parut di atas makanan sarapan itu.

    Rahsia kepada resipi yang diturunkan daripada ibunya, menurutnya, adalah kayu api yang memberikan rasa bakar kepada kuih manis istimewa itu.

    “Saya selalu membantu ibu saya membuat kuih berkenaan. Apabila ibu mendapati saya semakin mahir membuatnya, dia bertanyakan sama ada saya ingin menjual lupis tersebut. Saya menjawab ya,” katanya.

    “Ibu bertanya sekali lagi sama ada saya akan berasa malu menjual kuih itu, namun saya berkata apa salahnya menjual kuih yang sedap rasanya. Maka, dia pun bersetuju untuk membuat beberapa kuih untuk dijual.”

    Gerai Satinem kini dikerumuni puluhan pelanggan yang terpukau dengan kuih masakannya setiap hari. Mereka memerhati setiap pergerakannya dalam menghasilkan kuih berkenaan dan merakamnya dengan telefon mereka.

    “Rasa lupis yang dibuat Satinem masih sama,” kata Budi, 49 tahun, yang seperti kebanyakan penduduk tempatan Indonesia menggunakan satu nama. “Tekstur lupis yang melekit dan rasanya yang menyelerakan, di samping kepekatan sos warna keperang-perangan, membuatnya sungguh enak dimakan.”

    Versi jajan pasar buatan Satinem, dijual sehingga 9 pagi pada harga 10,000 rupiah (AS$0.67) setiap satu, telah terbukti amat popular sehingga dia telah memperkenalkan sistem nombor untuk pelanggan selepas satu pertengkaran meletus disebabkan kuih yang laris itu.

    Pelanggan yang terpaksa menunggu lebih daripada satu jam untuk memuaskan keinginan memakan kuih manis telah datang dari seluruh pelosok Jawa, pulau Indonesia di mana Yogyakarta terletak di tengah-tengah.

    Salah seorang pelanggan bernama Rama Luhur dari ibu negara Jakarta, yang menunggu hampir dua jam hanya untuk merasa lupis terkenal selepas melihat Satinem dalam rancangan Netflix.

    “Ia amat berbaloi. Awda boleh menemui jajan pasar di banyak tempat lain, tetapi saya menghargai sikapnya yang ringan tulang,” beritahu lelaki berusia 39 tahun itu kepada AFP.

    Kerja keras Satinem hanya berhenti semasa bulan suci Islam Ramadan. Namun setiap hari biasa sepanjang tahun, Satinem akan bangun awal untuk memulakan persediaan ramuan untuk lupis.

    “Biasanya saya bangun pada pukul 1 pagi dan tidur selepas sembahyang Isyak iaitu pada kira-kira pukul 8 malam,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...