Kuiz uji minda PPNBD secara online

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MEI – Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) melalui inisiatif Pasukan Latihan Pengakap Kebangsaan tidak ketinggalan menyediakan latihan kemahiran berbentuk soalan kuiz kepada ahli-ahli pengakap bagi menguji minda dan pengetahuan secara dalam talian (online) semasa wabak COVID-19 ini.

Kuiz-kuiz yang diberikan merangkumi mengenai sejarah pergerakan Pengakap Sedunia, pengakap kebangsaan, latihan-latihan kemahiran pengakap dan pengetahuan mengenai penularan wabak pandemik COVID-19.

Kegiatan E-Kuiz secara dalam talian bahagian-bahagian pengakap Brunei sempena duduk di rumah COVID-19 itu telah dilancarkan oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Badar bin Haji Ali, baru-baru ini, dan akan berjalan sehingga 20 Mei.

Menurut Haji Badar, kegiatan itu memberi banyak faedah kepada ahli-ahli pengakap di samping menguji minda dan pengetahuan ahli. Ia juga dapat membantu pemimpin-pemimpin pengakap menjalankan kegiatan pengakap secara berterusan yang tidak dapat dijalankan seperti kebiasaannya pada masa waktu persekolahan.

Setiap bahagian pengakap dalam e-Kuiz itu mengandungi lima bahagian yang perlu dijawab iaitu Bahagian A: Sejarah Pengasas Pengakap Sedunia sebanyak 10 soalan, Bahagian B: Sejarah Pergerakan Pengakap di Negara Brunei Darussalam sebanyak 10 soalan, Bahagian C: Kemahiran Pengakap sebanyak 10 soalan, Bahagian D: Kenali Negara Kitani sebanyak 10 soalan dan Bahagian E: Pengetahuan Tentang COVID-19 sebanyak 10 soalan.

Kuiz berkenaan juga terbahagi kepada lima bahagian pengakap iaitu Bahagian Pengakap Tunas (https://forms.gle/Vnr4b6FgPTb8SogFA), Bahagian Pengakap Muda (https://forms.gle/X1oLN2tpnRXhcphb9), Bahagian Pengakap Remaja (https://forms.gle/2XR5hW1Vkt8pDxcE9), Bahagian Pengakap Kelana (https://forms.gle/WkhRfCDWTdxmm8GWA) dan Bahagian Pengakap Dewasa (https://forms.gle/DQfMvJc1KJsripDC6).

Ahli-ahli yang menyertai kuiz berkenaan perlu mendapatkan jawapan yang betul bagi setiap bahagian pengakap dan mestilah lulus dengan markah melebihi 80 peratus, e-sijil penyertaan akan dihantar kepada mereka menerusi e-mel seperti mana yang diberikan dalam borang pendaftaran penyertaan.