BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jun – Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, semalam, telah menerima kunjungan hormat daripada Panglima Besar Tentera Laut Rakyat Vietnam, Laksamana Madya Pham Hoai Nam.
Semasa kunjungan tersebut, kedua-dua belah pihak merakamkan rasa puas hati atas hubungan pertahanan dan ketenteraan dua hala yang mesra antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Sosialis Vietnam.
Selain itu, mereka juga membincangkan perkara-perkara berkepentingan bersama termasuk kerjasama tentera laut, latihan serta bidang-bidang dua hala atau pelbagai hala yang lain untuk memperkuat hubungan pertahanan dua hala.
Laksamana Madya Pham Hoai Nam juga membuat kunjungan hormat kepada Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2018/06/P4-C_27618.jpg)
Turut hadir semasa kunjungan hormat itu ialah Pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei, Laksamana Pertama Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bin Pengiran Haji Muhammad.
Pemerintah ABDB juga mengambil kesempatan untuk menyampaikan rasa penghargaan kepada beliau atas lawatan muhibah kapal-kapal tentera laut Vietnam ke Negara Brunei Darussalam yang memberikan peluang bernilai bagi kedua-dua tentera laut untuk meningkatkan lagi hubungan profesional dan juga berkongsi pengetahuan dan pengalaman antara satu sama lain.
Laksamana Madya Pham Hoai Nam dan delegasi berada di Negara Brunei Darussalam selama dua hari hingga kelmarin.