Friday, December 8, 2023
24.5 C
Brunei

    -

    Kukuh kefahaman institusi keluarga Islam

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Seramai 25 pasangan suami isteri yang telah berkahwin selama tiga tahun ke atas mengikuti Kursus Pasca Perkahwinan yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 20 Oktober.

    Dengan tema ‘Iman Dikarihi, Keluarga Harmoni’, ia merupakan program yang dikendalikan oleh Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan diadakan di Dewan Serba guna, Bangunan Mahkamah Besar dan Mahkamah-mahkamah Syariah, Jabatan Perdana Menteri.

    Kursus tersebut dilaksanakan secara bersepadu iaitu kolaborasi dengan agensi-agensi kerajaan yang lain dalam sama-sama berkongsi dan menyampaikan maklumat dari segi hukum syarak, undang-undang dan yang berkaitan dengan kekeluargaan.

    Sepanjang kursus berlangsung, sebanyak tujuh kertas kerja akan dibentangkan oleh fasilitator-fasilitator yang berpengalaman dalam bidang masing-masing.

    Setiausaha Bersama Kursus Pasca Perkahwinan, Awang Muhd Hanif bin Haji Sha’ari ketika temu bual media, antara lain menjelaskan objektif kursus berkenaan dalam mengukuhkan kefahaman mengenai pentingnya institusi keluarga Islam dalam masyarakat.

    Di samping itu, tujuannya juga untuk meningkatkan kesedaran mengenai hak dan tanggungjawab terhadap keluarga serta menyalurkan pengetahuan mengenai jalan atau saluran yang betul bagi mempertahankan hak dalam rumah tangga.

    Beliau turut menjelaskan bahawa kursus tahun ini dapat dilaksanakan secara fizikal, yang mana pada tahun lalu buat julung kalinya ia telah dilaksanakan secara dalam talian disebabkan pandemik COVID.

    Menurut beliau lagi, sejak diperkenalkan pada 2012 dan dilaksanakan di keempat-empat daerah, respons peserta terhadap kursus berkenaan sangat menggalakkan.

    Kursus berkenaan juga dihasratkan dapat meningkatkan persefahaman dan perasaan kasih sayang antara suami isteri sesuai dengan tuntutan Islam selain memberi peluang kepada peserta dalam menjalin hubungan baik dengan agensi-agensi yang berkenaan.

    Haji Ali Yusri ketika menyampaikan ceramah pada Kursus Pasca Perkahwinan kelmarin.
    Awang Muhd Hanif semasa ditemu bual media.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Undang-undang pilihan raya Hong Kong baharu tipiskan kumpulan calon

    HONG KONG, 8 DIS - Salah seorang ahli majlis pro-demokrasi Hong Kong yang paling lama berkhidmat menganjurkan parti perpisahan dengan penduduknya pada akhir Disember....

    5 maut dalam kebakaran