BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei – Untuk menyokong inisiatif negara ke arah pengurangan penyebaran penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, strok, penyakit jantung dan kanser, Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengadakan Bengkel Pakej Teknikal Aktiviti Fizikal WHO yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.
Bengkel yang diadakan di Studio 1 dan 2 Pusat Promosi Kesihatan itu disertai kira-kira 30 orang peserta daripada pelbagai kementerian kerajaan dan Universiti Brunei Darussalam (UBD).
Dua orang pegawai WHO, Temo Waqanivalu dari Ibu Pejabat WHO di Geneva dan Dr. Warrick Junsuk Kim yang merupakan pegawai perubatan yang pakar dalam penyakit tidak berjangkit dan promosi kesihatan dari Pejabat Serantau WHO untuk Pasifik Barat, mengendalikan bengkel berkenaan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, bengkel diadakan sejajar dengan tindakan seluruh negara yang dikenal pasti oleh Pasukan Petugas Pelbagai Sektor untuk Kesihatan dalam Menyokong Komuniti Sihat di Brunei Darussalam serta tindakan dalam Pelan Tindakan Pelbagai Sektor Kebangsaan Brunei Darussalam untuk Pencegahan dan Kawalan NCD 2013-2018 (BruMAP-NCD 2013-2018) untuk membangunkan kapasiti pihak berkepentingan yang relevan untuk mempromosi aktiviti fizikal.
Bengkel berkenaan berobjektif untuk memperkukuhkan kepentingan pendekatan seluruh negara dalam mempromosi aktiviti fizikal dalam konteks Wawasan Brunei 2035 di samping mengenal pasti tindakan untuk mempromosi aktiviti fizikal menerusi pelbagai pendekatan dan latar seperti alam sekitar, sekolah, penjagaan kesihatan, tempat kerja, sukan, program seluruh negara, komunikasi dan media massa.


Selain itu juga untuk berunding, membimbing dan membincang tindakan serta mewujudkan rangka kerja pengawasan dan penilaian untuk memperkukuhkan campur tangan aktiviti fizikal dalam tiga latar terpilih – sekolah, tempat kerja dan latar penjagaan kesihatan.
Bengkel itu juga diharapkan akan mengenal pasti jurang yang timbul dalam dasar dan program sekarang serta membawa kepada tindakan yang lebih muktamad dan berstruktur untuk pihak berkepentingan yang relevan demi mencapai matlamat dan petunjuk yang dikenal pasti dalam setiap sektor dan dalam negara pada keseluruhannya.
Ia sejajar dengan dasar strategik utama Kementerian Kesihatan iaitu untuk menyemai bahawa kesihatan merupakan tanggungjawab semua, untuk mencegah dan mengawal penyakit yang tidak mudah berjangkit serta mempertingkat kualiti perkhidmatan.