Kukuh kerjasama dalam bidang pengangkutan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 FEB – Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Malaysia mengukuhkan lagi hubungan kerjasama dua hala dan perkongsian antara kedua-dua agensi kerajaan dalam isu-isu yang berkaitan dengan pengangkutan darat termasuk penguatkuasaan, perkembangan terkini dasar pengangkutan serta perkembangan teknologi.

Perkara itu antara yang disentuh oleh Pengarah JPD, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Rozaly bin Haji Saidon selaku pengerusi bersama semasa ucapan alu-aluannya pada Mesyuarat Dua Hala antara JPD dan JPJ, yang berlangsung di Bilik Mesyuarat SiKAP, Ibu Pejabat JPD, Gadong, hari ini.

Delegasi Malaysia pada mesyuarat berkenaan diketuai oleh Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan, Malaysia, Dato’ Sri Shaharuddin bin Khalid.

Turut menyertai delegasi ialah Pengarah Bahagian Pelesenan Kenderaan JPJ Malaysia, Dato’ Mohd Rusdi bin Mohd Darus, Timbalan Pengarah Bahagian Penguat Kuasa JPJ Malaysia, Dato’ Ahmad Nasir bin Abdul Ghani dan Setiausaha Politik Menteri Pengangkutan, Dato’ Mohamad Dahlan Mohd Maamor.

Mesyuarat itu turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan JPD dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Haji Rozaly dan Dato’ Sri Shaharuddin mempengerusikan bersama Mesyuarat Dua Hala di antara Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang berlangsung di Bilik Mesyuarat SiKAP, Ibu Pejabat JPD, Gadong, kelmarin.

Haji Rozaly dalam ucapannya menyatakan lagi bahawa lawatan kerja delegasi JPJ, Malaysia ke JPD menggambarkan jalinan mesra yang sentiasa terjalin antara JPD dan JPJ, iaitu agensi kerajaan kedua-dua buah negara yang bertanggungjawab mengenai hal-hal berkaitan pengangkutan darat.

Lawatan dan mesyuarat dua hala seumpama itu, jelasnya lagi, bukannya perkara baharu dan sering diadakan dari semasa ke semasa serta merupakan satu peluang yang baik bagi pihak JPD dan JPJ berbincang, bertukar-tukar fikiran dan mewujudkan kerjasama dalam hal ehwal pengangkutan darat.

Sementara itu, Dato’ Sri Shaharuddin dalam ucapan alu-aluan balasnya menyatakan bahawa perbincangan dua hala antara JPJ dan JPD telah banyak membuahkan hasil di mana banyak perubahan dan pembaharuan telah dilaksanakan termasuk isu-isu yang berbangkit antara kedua-dua pihak iaitu isu-isu teknikal dan isu-isu perundangan.

Beliau menekankan bahawa hubu-ngan dua hala itu bukan sahaja untuk keseluruhan secara makro iaitu Malaysia dan Brunei tetapi lebih dekat kepada merungkaikan isu-isu berbangkit dengan rakan-rakan sempadan termasuk Sabah, Sarawak dan Labuan.

Mesyuarat dua hala antara JPD dan JPJ itu bermatlamat untuk mengukuhkan jalinan kerjasama strategik antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia terutama dalam membincangkan isu-isu berkaitan dengan pengangkutan darat.