Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Mesyuarat Kumpulan Kerja Pakar Perubatan Tentera, Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus) ke-17 bermula hari ini di Goldstone Ballroom, Hotel Centrepoint, Gadong.
Mesyuarat dua hari itu dipengerusikan bersama oleh Ketua Pegawai Perubatan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Kolonel (Dr) Haji Awang Mohd Hafizul bin Haji Awang Mohd Hassan, dan Ketua Pengarah Kesihatan Operasi, Markas Kesihatan Bersama Pasukan Pertahanan Australia (ADF), Brigedier Isaac Seidl.
Perasmiannya telah disempurnakan oleh Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Pertahanan, Haji Adi Ihram bin Dato Paduka Haji Mahmud yang menekankan perkembangan, inovasi, dan ketahanan yang ditunjukkan oleh EWG on MM sepanjang tahun.
Dalam ucapan pembukaannya, Haji Adi Ihram menggariskan kepentingan global inisiatif mereka dan komitmen bersama ke arah kerjasama antarabangsa yang lebih mendalam, terutamanya dengan entiti seperti United Kingdom yang memerhati inisiatif mereka.
Ia mencerminkan jejak langkah global yang semakin meluas dan pengiktirafan semakin meningkat terhadap kerja mereka, tambah beliau.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, mesyuarat telah dihadiri secara fizikal oleh wakil-wakil dari sebilangan negara anggota ADMM-Plus, Pusat Perubatan Ketenteraan ASEAN (ACMM) serta Sekretariat ASEAN. Beberapa buah negara ADMM-Plus juga telah menghadiri mesyuarat tersebut secara maya.
Mesyuarat Kumpulan Kerja Pakar Perubatan Tentera ADMM-Plus ke-17 itu merupakan persidangan perancangan terakhir untuk mengkoordinasi Project-Based Community Medical Deployment/Medical Aid Provision (PCMD/MAP).
PCMD/MAP adalah atur gerak bagi negara-negara ADMM-Plus yang akan memberikan sumbangan perubatan kepada empat barangay di Jeneral Tinio di Republik Filipina.
Barangay-barangay tersebut telah dikenal pasti sebagai kawasan terpencil dan akan menerima sumbangan sukarela dari negara-negara ADMM-Plus. Penglibatan antara tentera dan awam itu bertujuan untuk menggunakan pelbagai rangka kerja yang sedia ada seperti ACMM, Rangka Kerja Sokongan Logistik (LSF) dan Standby Arrangement and Coordination of Join Disaster Relief and Emergency Response Operations (SASOP).
Usaha itu diharapkan akan meningkatkan peruntukan kesihatan di keempat-empat barangay tersebut. PCMD/MAP akan berlangsung dari 14 hingga 27 Oktober depan.
Sejak penubuhannya pada 2010, EWG on MM itu telah mengukuhkan kerjasama, saling-keoperasian serta penyelarasan dalam kalangan institusi perubatan tentera bagi 18 buah negara ADMM-Plus sepertimana yang dihasratkan oleh ketua-ketua pertahanan ADMM-Plus.