Kukuh kerjasama promosi hidup sihat

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 April – Dalam usaha untuk mengukuhkan kerjasama awam dan swasta (PPP) bagi meningkatkan serta menyelaraskan lagi usaha sedia ada dalam mempromosikan gaya hidup sihat dan mencegah penyakit tidak berjangkit khususnya penyakit jantung di Brunei, Gleneagles Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) menerusi program tanggungjawab sosial korporatnya telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Kementerian Kesihatan di bawah Pusat Promosi Kesihatan.

Hadir untuk menyaksikan penandatanganan MoU berkenaan pada majlis yang berlangsung di Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC), Jerudong, hari ini, ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dan Pengerusi Lembaga Pengarah Gleneagles JPMC dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan IHH Healthcare Berhad, Dr Lim Suet Wun.

Dr Lim Suet Wun dalam kata alu-aluannya pada majlis berkenaan menyatakan bahawa penandatanganan MoU itu amat penting bagi Gleneagles JPMC Sdn Bhd dan Kementerian Kesihatan dalam mengukuhkan dan menyatupadukan lagi usaha yang sedia ada dalam mempromosikan gaya hidup sihat dan pencegahan penyakit-penyakit tidak berjangkit di Negara Brunei Darussalam dengan tumpuan kepada mempromosikan aktiviti fizikal di tempat-tempat kerja kerajaan dan juga dalam masyarakat.

Beliau menerangkan lagi bahawa kerjasama yang menumpukan kepada mempromosikan gaya hidup sihat dan aktiviti fizikal dengan menyediakan sumber-sumber yang sesuai serta ke-pakaran teknikal menerusi dua persekitaran yang berbeza bagi fasa awal iaitu tempat-tempat kerja sektor kerajaan dan komuniti setempat.

Dr Lim berkata lagi bahawa Program Tempat Kerja dan Kesihatan (WAH) bermatlamat untuk menggalakkan tempat-tempat kerja menyediakan alam sekitar bagi kakitangan mereka untuk menjadi lebih aktif, makan secara sihat, bebas rokok dan mempunyai kesihatan mental yang baik dengan membangunkan atau mengukuhkan program-program gaya hidup sihat tempat kerja.

Penandatanganan MoU antara Kementerian Kesihatan bersama Gleneagles JPMC Sdn Bhd yang disaksikan bersama oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham (tiga, kanan) dan Dr Lim Suet Wun (tiga, kiri).
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menerima replika cek berjumlah $120,000 daripada wakil Gleneagles JPMC Sdn Bhd, Dr Lim Suet Wun.

Sementara itu, jelasnya lanjut, Program Gaya Hidup dan Alam Sekitar Bahagia (HEAL) bermatlamat untuk menyokong intervensi aktiviti fizikal dalam persekitaran komuniti dengan menubuhkan, mempromosikan, mengukuhkan dan mengekalkan rangkaian sosial dan peluang-peluang bagi aktiviti fizikal.

Di samping kedua-dua projek itu, ulasnya lagi, Gleneagles JPMC akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan dalam mengukuhkan sokongan berterusan untuk meningkatkan kesedaran orang awam mengenai pentingnya kehidupan sihat menerusi hari-hari memperingati kesihatan antarabangsa seperti Hari Jantung Sedunia, Hari Tanpa Tembakau Sedunia, Hari Diabetes Sedunia dan pelbagai peluang-peluang yang relevan.

Sebagai sebuah organisasi yang terlibat secara langsung dalam penjagaan kadiovaskular di Brunei, Dr Lim berkata, adalah amat penting bagi Gleneagles JPMC untuk mengingatkan pesakit-pesakitnya, keluarga mereka dan komuniti mengenai langkah-langkah pencegahan yang harus diambil untuk mengekalkan kesihatan mereka khususnya kesihatan jantung.

Dalam melaksanakan pelbagai projek itu, komitmen yang kuat daripada kedua-dua buah organisasi untuk menyaksikan kerjasama berkenaan berjaya akan menyaksikan perubahan yang positif di tempat kerja dan komuniti setempat supaya dapat mencapai matlamat kesihatan kebangsaan bersama dalam mengurangkan faktor risiko penduduk bagi penyakit-penyakit tidak berjangkit.

Majlis kemudian menyaksikan penandatanganan MoU antara Kementerian Kesihatan yang diwakili oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Dr Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif dengan Gleneagles JPMC Sdn Bhd yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Peter Tay dengan disaksikan bersama oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dan Dr Lim Suet Wun.Majlis turut menyaksikan penyera-han replika cek berjumlah $120,000 daripada Gleneagles JPMC Sdn Bhd kepada Kementerian Kesihatan bagi pembiayaan kedua-dua program berkenaan daripada Dr Lim Suet Wun kepada Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham.

SAHAM
TerdahuluReds gempur Porto
SeterusnyaSpurs punah impian City