Tuesday, March 25, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kukuh, pertingkat urus tadbir baik

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Kerajaan sebagai jentera utama pembangunan negara akan sentiasa mengukuhkan dan mempertingkatkan lagi tadbir urus yang baik atau Good Governance di semua peringkat dan sektor bagi memastikan kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada orang ramai adalah yang terbaik, efisien, efektif dan yang penting adalah mesra rakyat.

    “Kualiti perkhidmatan yang mesra rakyat itu akan memudahkan orang ramai untuk membuat urusan di samping untuk sentiasa berjimat cermat dan berhemah serta memastikan setiap perbelanjaan mestilah mengutamakan value for money serta mendatangkan manfaat dan keuntungan kepada negara dan penduduk dalam jangka pendek dan jangka panjang,” ujar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dalam usul menjunjung kasih atas perkara yang dititahkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pada Majlis Istiadat Pembukaan Rasmi, Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-16 yang menekankan mengenai dasar sumber tenaga manusia, ekonomi dan peluang pekerjaan.

    Menurut Yang Berhormat Dato lagi, keadaan ekonomi dunia dengan harga minyak yang tidak stabil nampaknya akan terus memberikan impak kepada peruntukan belanjawan negara.

    Tambahan lagi, wabak COVID-19 yang sedang melanda di sebilangan negara yang terjejas telah banyak memberikan impak kepada perniagaan, industri pelancongan, perhotelan dan sebagainya.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti semasa berucap pada Persidangan MMN. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Dalam apa jua keadaan, pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia masih terus sahaja menyediakan peruntukan yang besar bagi jentera kerajaan untuk melaksanakan program-program bagi kepen-tingan semua rakyat dan pihak yang berkenaan di negara ini.

    Oleh itu, katanya lagi, setiap seorang daripada kita tanpa kecuali mestilah menanai tanggungjawab untuk menjadikan semua sektor lebih efisien dan efektif yakni berkesan.

    Sama ada ia khusus di sektor kerajaan, dasar, peraturan dan inisiatif-inisiatif lain hendaklah dilaksanakan oleh semua agensi kerajaan melalui penyatuan fiskal (fiscal consolidation), selain meneliti kesesuaian kaedah-kaedah seperti pengkorporatan atau perkongsian awam-swasta perlulah diberikan sokongan padu daripada semua pihak untuk kebaikan negara dengan pendekatan bersepadu (Whole of Nation).

    Dalam hal ehwal perkhidmatan awam pula, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui agensi-agensi perkhidmatan awam khususnya Jabatan Perkhidmatan Awam, Institut Perkhidmatan Awam (IPA), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perkhidmatan Pengurusan, berganding bahu menangani beberapa projek, antaranya ialah Civil Service Leadership Pipeline (CSLP), yang menyediakan Young Executive Programmes (YEP), Executive Development Programmes for Middle Management Officers (EDPMMO), Executive Development Programmes for Senior Government Officers (EDPSGO) telah sekian lama dilangsungkan dan telah mengeluarkan ratusan jurusan malah mungkin beribu-ribu ramainya yang kini berkhidmat dengan penuh semangat dan dedikasi di semua kementerian yang ada.

    “Alhamdulillah, jurusan-jurusan tersebut mempunyai potensi yang tinggi untuk memajukan jentera perkhidmatan awam, merekalah ejen-ejen kemajuan, merekalah pemangkin dan pemerkasa perancang berturut-turut dalam perkhidmatan awam.

    “Insya Allah, kita akan merasa gembira dan berpuas hati kerana mereka inilah nanti pengisi-pengisi jawatan kosong dengan tidak perlu lagi memangku-mangku jawatan-jawatan tersebut, atau walaupun akan memangku juga ia tidak akan lama jauh sekali terlalu lama,” ujar Yang Berhormat Dato.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda