Kukuh semangat perpaduan kalangan pelajar

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 FEB – Jabatan Penerangan melalui Unit Kenegaraan terus mengadakan Program Taklimat Kenegaraan Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, hari ini, yang berlangsung di Dewan Kuliah, Sekolah Sukan.

Taklimat yang dihadiri oleh tenaga pengajar pelajar Tahun 7 itu antara lain bertujuan untuk mengukuhkan semangat perpaduan, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri penuntut melalui lagu kebangsaan dan bendera negara. Di samping itu, program merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyemai rasa cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara.

Taklimat telah disampaikan oleh Penolong Pegawai Penerangan, Hajah Noorhijrah binti Haji Idris yang mana dalam taklimat tersebut, beliau antara lain menyentuh mengenai raja, tatacara menaik kibarkan bendera negara dan sejarah lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam, ‘Allah Peliharakan Sultan’ dengan terperinci.

Penuntut sekolah berkenaan turut menyaksikan tayangan klip video ‘Kibarkanlah dengan Megah Bendera Negara’, ‘Semarak Pengibaran Bendera Negara’ dan video animasi ‘Tatacara Menaikkan Bendera Negara’.

Selain penuntut juga berpeluang menyertai kuiz kenegaraan yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan dan taklimat diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para penuntut yang berjaya menjawab kuiz tersebut.

Hajah Noorhijrah ketika menyampaikan taklimat kepada para pelajar Sekolah Sukan. – Gambar oleh Infofoto
Antara pelajar Tahun 7 mendengar Taklimat Kenegaraan Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam di Sekolah Sukan.