Kukuh urus tadbir, tutup ruang rasuah

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Seramai 60 pegawai dan kakitangan dari Bahagian Lesen Pekerja Asing, Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang dan Pejabat Buruh Daerah Temburong telah menyertai Bengkel Pencegahan Rasuah dan Integriti yang berlangsung di Tingkat 4, Ibu Pejabat, Jabatan Buruh, di sini, baru-baru ini.

Bengkel anjuran Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dengan kerjasama Biro Mencegah Rasuah (BMR) itu bermatlamat untuk memperkukuhkan lagi urus tadbir yang baik yang boleh menutup ruang dan peluang rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam organisasi.

Selain itu, para peserta juga didedahkan mengenai isu rasuah dan ciri-cirinya, kesan-kesan rasuah dan pengukuhan integriti dalam diri seorang penjawat awam dalam mencegah daripada berlakunya rasuah.

Turut hadir pada bengkel itu ialah Pemangku Pesuruhjaya Buruh, Awang Muhammad Saufi bin Haji Ibrahim dan Timbalan Pesuruhjaya Buruh, Awang Zulhilmi Haji Abidin selaku pengerusi bengkel.

Menurut kenyataan yang diterima, bengkel tersebut telah dikendalikan bersama oleh Ketua Penyiasat Khas, Pengiran Hajah Norutama binti Pengiran Haji Hassan dan Penyiasat Khas Kanan, Haji Muhamad Hisham bin Haji Sulaiman dari Bahagian Perhubungan Masyarakat, Pendidikan dan Integriti, BMR.