Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Dunia digital yang sangat mencabar pada masa kini dan arus globalisasi telah membentuk hala tuju baharu dalam sistem pendidikan.
Sehubungan itu, para guru perlu mengukuhkan dan meningkatkan pengetahuan serta kemahiran pedagogi abad ke-21 dan memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
“Di sinilah pengajaran berdasarkan penguasaan perlu dipraktikkan,” kata Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman ketika berucap merasmikan Program Induksi bagi Tenaga Pengajar Baharu 2023 yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.
Menurutnya, guru bukan sahaja berperanan untuk menyampaikan ilmu pengetahuan, melengkapkan sukatan pelajaran dan kurikulum tetapi perlu memastikan para pelajar dapat menguasai pembelajaran mereka.
Selain daripada itu, para guru juga turut berperanan dalam mengukuhkan kemahiran-kemahiran abad ke-21 pelajar serta memupuk sikap, nilai dan sahsiah berpaksikan Melayu Islam Beraja.
Beliau turut menekankan kepentingan penerapan kemahiran berfikir secara kritis, kemahiran penyelesaian masalah dan kemahiran berfikir secara kreatif untuk diintegrasikan dalam proses pembelajaran dan pengajaran.
Beliau berkata secara dasarnya para guru berperanan selaku pemudah cara di dalam bilik darjah.
“Kaedah pembelajaran yang berpusatkan pelajar, bukan saja menjadikan sesi pembelajaran lebih menarik, efisien dan efektif tetapi ia secara tidak langsung dapat mendorong para pelajar menjadi lebih bertanggungjawab dan berdikari dalam pembelajaran mereka dan sekali gus menjadikan mereka lebih mandiri,” tambahnya.
Beliau turut menyarankan para guru untuk sentiasa meningkatkan kemahiran pedagogi mereka seiring dengan perkembangan semasa supaya sentiasa relevan dan menarik khususnya dalam mendidik generasi alaf baharu yang sangat mencabar pada masa ini.
“Selain itu, para guru juga perlu sentiasa meningkatkan profesionalisme serta menjaga perwatakan, penampilan, sikap dan peribadi memandangkan para cikgu akan menjadi model peranan serta perhatian para pelajar, ibu bapa serta masyarakat,” ujarnya.