Friday, August 12, 2022
26.5 C
Brunei

Kukuhkan kerjasama perangi rasuah

-

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – ASEAN-Parties Against Corruption (ASEAN-PAC) diseru untuk meningkatkan kolaborasi dan mengukuhkan kerjasama dalam kalangan agensi anti-rasuah ASEAN-PAC dalam mencegah serta memerangi rasuah dan seterusnya menyokong inisiatif serta komitmen yang dibuat oleh ahli ke arah mencapai objektif yang dinyatakan dalam memorandum persefahaman (MoU).

Seruan itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dalam ucaptama melalui rakaman video semasa merasmikan Mesyuarat Ketua-ketua Agensi Anti-Rasuah ASEAN-PAC ke-17 pada 30 November lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Biro Mencegah Rasuah (BMR), di sini, terdahulu dalam ucaptama itu, Yang Berhormat Dato menyampaikan ucapan tahniah kepada Pengerusi Government Inspectorate of Vietnam atas kejayaan mempengerusikan mesyuarat ke-16 yang telah diadakan secara maya pada 9 Disember 2020.

Dalam ucapannya lagi, beliau antara lain menyentuh mengenai pemilihan tema, ASEAN-PAC Enhancing Anti-Corruption Strategies in the Fight Against Corruption for Regional Peace, Security and Prosperity, adalah bertepatan dengan keadaan masa kini dan relevan.

Beliau juga telah mengiktiraf usaha yang dilakukan oleh ASEAN-PAC dalam menunjukkan komitmen ke arah membina tadbir urus yang lebih baik dan berdaya tahan dalam memerangi rasuah walaupun dalam keadaan pandemik.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri semasa menyampaikan ucaptama melalui rakaman video pada mesyuarat tersebut, baru-baru ini. – Gambar serahan Biro Mencegah Rasuah

Yang Berhormat Dato menyatakan harapan semua ahli ASEAN-PAC akan me-ngadakan mesyuarat yang produktif dan membuahkan hasil yang positif, mencapai matlamat bersama untuk mencegah dan memerangi rasuah bagi mewujudkan rantau yang bebas daripada rasuah.

Kenyataan itu menyatakan bahawa mesyuarat berkenaan telah diadakan di Ibu Pejabat BMR yang dipengerusikan oleh Pengarah BMR, Datin Paduka Hajah Suhana binti Haji Sudin.

Majlis dimulakan dengan sesi penyerahan rasmi Pengerusi ASEAN-PAC daripada Government Inspectorate of Vietnam, Republik Sosialis Vietnam kepada BMR yang telah dilaksanakan melalui rakaman video.

Mesyuarat diikuti dengan ucapan daripada pengerusi mesyuarat, Datin Paduka Hajah Suhana yang menyatakan rasa berbesar hati setelah 17 tahun penubuhan kumpulan itu, ia telah berkembang dan menambah anggotanya yang merangkumi kesemua agensi anti-rasuah ASEAN.

Dalam mesyuarat itu, setiap ahli ASEAN-PAC telah menyampaikan kertas pembentangan mengenai inisiatif dan strategi terkini termasuk perbincangan mengenai cabaran dan perkongsian amalan baik dalam pencegahan dan pembanterasan rasuah yang dilaksanakan.

Bagi pihak BMR, kertas pembentangan bertajuk Enhancing Anti-Corruption Strategies in the Global Pandemic of COVID-19 in the Combating Corruption for Regional Peace, Security and Prosperity telah disampaikan oleh Pemangku Penolong Pengarah, Hajah Rahimah binti Haji Hassan selaku ketua Bahagian Penyiasatan 2.

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

DXY disekat kritik rawatan herba COVID

BEIJING, 11 OGOS – Sebuah laman web perubatan China yang popular telah ditapis oleh pihak berkuasa kerana 'melanggar undang-undang dan peraturan yang berkaitan', beberapa...
- Advertisment -