Kukuhkan semangat Kenegaraan

Gambar serahan Jabatan Penerangan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 FEB – Dalam usaha untuk mengukuhkan semangat solidariti, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri para penuntut, Jabatan Penerangan melalui Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan telah mengadakan taklimat Kenegaraan Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, hari ini.

Program yang diadakan di Dewan Sekolah Rendah Tentera Laut Diraja Brunei, Muara itu dihadiri lebih 190 pelajar tahun 7 dan tenaga pengajar sekolah berkenaan.

Hadir menyampaikan taklimat semasa program tersebut ialah Pegawai Luar Penerangan, Dayang Zurairah binti Haji Lisa yang antara lain menyentuh mengenai raja kita, tatacara menaikkibarkan bendera negara dan sejarah lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’ dengan terperinci.

Program tersebut turut diisikan dengan menyaksikan klip video ‘Kibarkanlah Dengan Megah Bendera Negara’, ‘Semarak Pengibaran Bendera Negara’ dan video animasi ‘Tatacara Menaikkan Bendera Negara’. Semasa program itu, para penuntut juga berpeluang menyertai kuiz kenegaraan yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan, diikuti dengan penyampaian hadiah kepada para penuntut yang berjaya menjawab kuiz berkenaan.

Sementara itu, di Daerah Tutong, program seumpamanya turut diadakan di Dewan Sekolah Menengah Muda Hashim, Tutong dan dihadiri lebih 100 pelajar tahun 7 dan tenaga pengajar sekolah berkenaan. Hadir menyampaikan taklimat semasa program tersebut ialah Penolong Pegawai Penerangan, Pengiran Haji Ahmad Fadillah Akhbar bin Pengiran Haji Sellahuddin selaku ketua Cawangan Penerangan Daerah Tutong.

Program tersebut dianjurkan oleh Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Cawangan Penerangan
Daerah Tutong dan Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan.

Antara pelajar yang mengikuti program taklimat di Dewan Sekolah Rendah Tentera Laut Diraja Brunei.
Pelajar ketika menjawab kuiz yang turut diadakan semasa program di Dewan Sekolah Menengah Muda Hashim.