Oleh Amri HTZ
HOBI melancong ke luar negara untuk bercuti atau berhibur setentunya merupakan suatu idaman bagi setiap orang.
Untuk melancong keluar setentunya memerlukan pasport bagi memasuki sesebuah negara. Sering kali terlihat pelbagai reka bentuk kulit penutup pasport yang digunakan bagi melindungi permukaan luar pasport selain sebagai trend. Bagi anda yang mahukan reka bentuk tersendiri, hal ini boleh tercapai dengan merekanya sendiri melalui beberapa langkah mudah.
Barang-barang yang diperlukan
Bagi mereka kulit pasport daripada leather atau jenis kulit tersebut, barangan yang diperlukan adalah leather, pembaris, pisau pemotong (heavy duty), pemutar skru (philips heads Screw driver) tukul, gam (contact cement), penebuk lubang atau paku, jarum, benang berlilin (wax thread), kertas pasir,pensel dan penggilap leather. Setelah mendapatkan semua peralatan, projek membuat kulit penutup pasport boleh diteruskan.
Langkah-langkah yang perlu dilakukan
Dalam projek ini, dipercayai saiz pasport di seluruh negara mengikut saiz yang telah ditetapkan iaitu lebih kurang 125mm x 88mm (4.921×3.465 inci). Jika ukuran pasport anda berlainan daripada saiz yang telah diberikan, ini bermakna anda perlu mengukur saiz pasport yang dimiliki untuk membuat kulit penutup pasport tersebut mengikut saiz pasport anda.
Pada langkah pertama, potongkan leather tersebut menjadi saiz 20.5cm x 14.25cm berbentuk segi empat tepat. Gunakan pisau pemotong dan pembaris yang telah disediakan untuk memotong leather tersebut. Pastikan anda melakukan pemotongan dengan berhati-hati dan gunakan sisi pembaris untuk membuat pemotongan yang lurus dan tepat. Jika anda mempunyai pembaris jenis besi, ini merupakan satu kelebihan ketika memotong di mana pisau pemotong hanya akan memotong permukaan leather sahaja tanpa memberi kesan pada pembaris anda. Kepingan ini akan dijadikan badan utama kulit penutup pasport tersebut.
Dengan melakukan langkah yang sama dalam proses pemotongan, potong dua keping leather berukuran 6cm x 14.25cm (2.36’ x 5.61’’) juga dalam bentuk segi empat tepat. Leather yang telah dipotong ini akan dijadikan bahagian penutup kulit pasport tersebut.
Pada langkah ketiga adalah merupakan langkah pilihan yang boleh dilakukan ataupun tidak. Bahagian luar permukaan kulit pasport tersebut akan dilakarkan sedikit reka bentuk untuk memberikan efek yang lebih menyerlah. Pada kebiasaannya, jika anda ingin mereka bentuk sejenis leather, adalah disyorkan untuk menggunakan vegetable leather di mana ia dirawat menggunakan pelbagai jenis sayuran, buah-buahan, daun kayu dan sebagainya. Ini kerana bahagian permukaannya serta warnanya lebih cantik jika dibandingkan dengan leather biasa.
Dalam mereka bentuk permukaan kulit pasport tersebut, lakarkan permukaan leather tersebut menggunakan pensel dengan pelbagai reka bentuk pilihan anda. Pada projek ini, reka bentuk kompas dipilih untuk menggambarkan pelbagai destinasi akan dituju di seluruh dunia selain memberi kelainan pada kulit pasport tersebut. Selepas membuat lakaran, bahagian lakaran perlu di ketuk atau cap menggunakan pemutar skru dan tukul.
Sebelum memulakan proses mereka bentuk, lembapkan permukaan leather menggunakan air. Langkah ini akan membantu hasil akhir pada reka bentuk yang telah diketuk. Kemudian, anda boleh meneruskan proses mengetuk lakaran. Lakukan proses ini dengan perlahan dan berhati-hati serta pastikan anda menggunakan alas yang sederhana keras pada bahagian belakang untuk menyerap impak ketukan selain tidak merosakkan leather tersebut. Pastikan setiap lakaran yang diketuk meliputi keseluruhan permukaan bagi memberikan hasil akhir yang baik.
Pada langkah seterusnya adalah menjahit kepingan leather tersebut. Sebelum memulakan proses menjahit, lekatkan kesemua bahagian menggunakan gam. Contact Cement yang digunakan ini adalah bagi memastikan kepingan leather kekal berada pada tempatnya semasa proses membuat lubang dan menjahit. Ketuk penebuk lubang menggunakan tukul pada bahagian sisi leather dengan jarak 5mm daripada bahagian hujung sisi leather dan 5mm setiap lubang. Selain menggunakan penebuk lubang khas, anda juga boleh menggunakan paku sebagai pilihan.
Setelah menebuk kesemua lubang, jahitkan leather tersebut dengan menggunakan benang lilin. Teknik jahitan juga memainkan peranan penting di sini tetapi ia bukannya sesuatu yang penting sehingga boleh merosakkan rekaan anda. teknik jahitan seperti dalam gambar boleh dijadikan panduan untuk menjahit teknik jahitan Saddle atau hanya menggunakan jahitan tangan biasa.