Kumbang unik ditemui

Oleh Syazwani Hj Rosli

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Satu spesies kumbang unik ditemui baru-baru ini di sebuah kediaman di Kota Batu.

Koo, pemilik rumah tersebut, memberitahu media bahawa beliau dan adik perempuannya berasa kagum melihat serangga kecil itu disebabkan warnanya yang menarik perhatian.

“Pada kira-kira pukul 12:30 tengah hari, saya ternampak kumbang itu di pintu besar rumah kami.

“Kami dengan segera mengambil beberapa gambar, namun tidak menangkapnya kerana habitatnya adalah di alam semula jadi.

“Ia hanya sesuatu yang kami ingin kongsikan bersama orang lain,” kata Koo.

Berwarna hijau berkilat dengan bintik hitam, kumbang itu lebih dikenali sebagai Jewel Bug atau Lychee Shield-Backed Bug (Chrysocoris stolli).

Kumbang berkilat itu tergolong dalam keluarga Scutelleridae. Serangga berkenaan memakan jus tumbuhan daripada pelbagai spesies berlainan, termasuk beberapa tanaman komersial.

Mempunyai hubungan rapat dengan serangga berbau busuk, serangga itu juga mungkin mengeluarkan bau busuk apabila diganggu. Terdapat kira-kira 450 spesies tersebut di seluruh dunia.

Berwarna hijau berkilat dengan bintik hitam, kumbang unik itu lebih dikenali sebagai Jewel Bug atau Lychee Shield-Backed Bug (Chrysocoris stolli). – Gambar serahan Koo