Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Sept – Bersempena dengan ulang tahun penubuhannya, Kumon Diligent telah mengadakan Majlis Penghargaan dan Penyampaian Sijil kepada pelajar ‘Advanced Student’ yang berlangsung di Dewan Indera Kayangan, The Empire Hotel & Country Club.
Hadir bagi menyempurnakan penyampaian sijil kepada 123 orang penerima anugerah ialah Pengurus Besar Kumon Asia & Ocenia, Allan Menagh.
Ketua Pengajar Kumon Diligent, Caley Lim dalam ucapannya menyatakan, misi Kumon adalah untuk mencari dan mendedahkan potensi-potensi pelajar kemudian membentuk mereka untuk meningkatkan minat dan meneruskan lagi pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi.


Beliau menjelaskan lagi, bagi para pelajar yang dapat meneruskan pengajian subjek Matematik dan Bahasa Inggeris ke peringkat seterusnya akan dapat mengembangkan kemahiran berfikir mereka, di samping mendapatkan kemahiran berfikir dengan lebih kreatif dalam membangunkan keupayaan untuk menangani dan menyelesaikan masalah.
Sepanjang tempoh dua tahun ini, kira-kira seramai 300 orang pelajar telah pun mendaftarkan pengajian mereka di Kumon. Kemudian, Allan Menagh juga menyampaikan ucapan penghargaannya kepada para ibu bapa yang telah memberikan kepercayaan kepada Kumon untuk anak-anak mereka membuat pengajian lanjutan di luar sekolah.
Beliau juga merasa begitu berbangga dengan pencapaian setiap pelajar bagi tahun ini dan berharap agar para pelajar akan sentiasa bersemangat dan tekun untuk meneruskan pengajian mereka di Kumon pada tahun hadapan.