Kumpul lebih 100kg bahan kitar semula

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Ke arah pemuliharaan alam sekitar, Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) hari ini, telah mengadakan kempen kitar semula bagi tahun ini yang juga menyumbang kepada inisiatif-inisiatif hijau kakitangan.

Lebih 100kg bahan kitar semula telah berjaya dikumpulkan dalam kempen berkenaan dengan bantuan daripada Daikyo Environmental Recycling Sdn Bhd.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan JPMC, semua kakitangan digalakkan menyertai kempen berkenaan dengan mengumpulkan kertas buangan dari rumah dan tempat kerja seperti akhbar lama, majalah lama dan kotak-kotak kadbod.

Kenyataan menambah, kempen juga memfokuskan ke atas barangan elektronik seperti komputer, peralatan telekomunikasi, peralatan elektronik rumah, perkakasan rumah dan banyak lagi dengan matlamat untuk melindungi sumber semula jadi apabila menghasilkan produk-produk baharu.

Objektif kempen berkenaan adalah untuk mengurangkan impak alam sekitar, mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau dan menjimatkan sumber-sumber dengan mengurangkan pengambilan bahan-bahan mentah dari bumi.

Antara warga JPMC yang membawa bahan kitar semula semasa kempen berkenaan. – Gambar serahan JPMC