Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mei – Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporatnya, Kumpulan Bank Baiduri telah menganjurkan kempen menderma darah dengan kerjasama Unit Tabung Simpanan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) yang berlangsung di Bangunan Bank Baiduri Kiarong, hari ini.
Menurut kenyataan Bank Baiduri, acara tahunan itu bermatlamat untuk membantu menambah bekalan darah Tabung Darah Kebangsaan Hospital RIPAS di samping menggalakkan semangat prihatin dan memberi bantuan dalam kalangan kakitangan bank.
Kempen kali ini yang dianjurkan dengan tema ‘Setiap Titik Berharga. Menderma Darah Hari Ini’ telah disertai seramai lebih 80 orang yang terdiri daripada kakitangan dan para pelanggan bank yang mana ia juga dibukakan kepada orang ramai yang ingin menderma darah.

Turut hadir memberi sokongan kepada para penderma ialah Ketua Perhubungan Korporat Kumpulan Bank Baiduri, Dorothy Newn.
Dorothy Newn dipetik sebagai berkata, “Ini adalah masa yang sesuai untuk menganjurkan kempen menderma darah kerana bekalan darah daripada para penderma biasanya rendah semasa bulan Ramadan.
“Tahun ini kami melanjutkan masa kempen sehingga petang, untuk membolehkan kakitangan dari cawangan-cawangan lain ikut serta,” tambahnya lagi.