Kumpulan Bank Baiduri menang anugerah

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Kumpulan Bank Baiduri telah diiktiraf sebagai Kumpulan Perbankan Terbaik bagi Brunei 2019 sekali gus menandakan tahun ke-11 bank berkenaan menerima anugerah tersebut daripada World Finance.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bank Baiduri, di sini, hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui telah menerima anugerah berkenaan di Bursa Saham London, United Kingdom pada 5 Julai lalu.

Bercakap mengenai pengiktirafan terkini itu, Ti Eng Hui dipetik menyatakan, “Ini adalah satu pencapaian besar bagi Kumpulan Bank Baiduri. Untuk menerima pengiktirafan ini daripada World Finance buat 11 tahun berturut-turut adalah bukti kepada model perniagaan kami yang kukuh dan terbukti.”

Tambahnya lagi, “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan dan rakan-rakan perniagaan atas kepercayaan dan sokongan yang mereka berikan selama ini sehingga menjadikan kami kumpulan perbankan yang menerima anugerah pada hari ini.”

Kenyataan menyatakan, semasa penyampaian anugerah di London, Ti Eng Hui telah ditemu bual oleh Penerbit World News Media, Paul Richardson, mengenai pencapaian kumpulan itu sepanjang tahun lalu.

Ti Eng Hui (kanan) ketika menerima Anugerah Kumpulan Perbankan Terbaik bagi Brunei 2019 daripada Paul Richardson.