Kumpulan belia terajui usaha perkasa Al-Quran

Oleh Nurdiyanah R.

TUTONG, 12 NOV – Demi memperkasakan lagi pengamalan pembacaan Al-Quran dalam kehidupan sehari-hari, Kumpulan IMPAK Penggerak Belia, Pusat Belia Daerah Tutong dan Kelab Belia Permata Hijau, Pusat Belia Temburong telah menganjurkan Majlis Tahlil Serumpun Dua Daerah bersempena Kempen Hari Bertindak secara maya melalui aplikasi Zoom, baru-baru ini.

Program kerohanian yang dianjurkan buat julung kalinya oleh gabungan kedua-dua kumpulan belia di bawah sokongan Jabatan Belia dan Sukan cawangan Daerah Tutong dan Temburong itu telah disertai oleh seramai lebih 120 orang yang bukan hanya terdiri dari kalangan ahli kumpulan belia-belia bahkan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), pegawai dan kakitangan Jabatan Belia dan Sukan dan Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Tutong dan Temburong.

Acara yang berlangsung pada malam hari itu dimulai dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh ahli MMN, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu sebelum diikuti dengan bacaan Surah Yasin yang diketuai oleh Ketua Biro Keagamaan Kumpulan IMPAK, Haji Abdul Mateen Bolkini bin Haji Ahmad.

Manakala bacaan tahlil pula diteruskan dengan dipimpin oleh salah seorang ahli Biro Keagamaan Kelab Belia Permata Hijau, Awang Muhammad Darwisy Afiq bin Jalani dan diikuti dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Penolong Ketua Keagamaan Kelab Belia Permata Hijau, Haji Muhammad Iffat Imani bin Husaini.

Dalam pada itu, acara turut diserikan dengan laungan selawat yang diketuai oleh Awang Muhammad Nur Azimin bin Shahminan, juga salah seorang ahli Keagamaan Kelab Belia Permata Hijau.

Selain itu, sebahagian peserta yang hadir terdiri dari Majlis Belia Brunei, jemaah Masjid Universiti Brunei Darussalam, Persatuan PERDA, Persatuan Kebajikan Perempuan Kuala Belait dan Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam.

Majlis tahlil diadakan secara maya turut dihadiri ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dan ahli-ahli kumpulan belia dua daerah. – Gambar serahan Pusat Belia Daerah Tutong