Oleh Normazlina M.D
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Okt – Beberapa buah kumpulan berbasikal di Daerah Tutong juga telah sama-sama memeriahkan acara Riadah Basikal Kayuhan Jubli Emas di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, kelmarin.
Antara kumpulan berbasikal yang tidak melepaskan peluang dalam acara tersebut adalah Pasukan Berbasikal Ekspedisi Sukarelawan Tutong (BEST) dan Pasukan Berbasikal Sembatang dari Kampung Luagan Dudok.
Daripada Pasukan BEST, kira-kira 20 orang ahlinya menyertai acara riadah berbasikal itu dengan diketuai oleh Pengerusi Kumpulan BEST, PW1 (B) Haji Aminudin bin Haji Abdul Karim.
Sementara itu, daripada Pasukan Berbasikal Sembatang, lebih 20 orang peserta terlibat, terdiri daripada ahli-ahli kumpulan dan juga ahli-ahli keluarga kumpulan berkenaan.
Dengan mengikuti riadah basikal tersebut, para peserta bukan sahaja terdiri dari Daerah Brunei dan Muara, bahkan dari keempat-empat daerah bagi memeriahkan lagi suasana Bandarku Ceria di samping meraikan Sambutan Jubli Emas Baginda Sultan Menaiki Takhta.
Kebanyakan peserta berbasikal di Daerah Tutong menyatakan perasaan teruja dan bersyukur kerana terlibat dalam acara-acara riadah berbasikal yang sememangnya menjadi sukan kegemaran penduduk dan rakyat di negara ini.
Mereka berharap riadah berbasikal ini bukan sahaja menjadi acara utama di negara ini, bahkan menjadi acara mingguan bagi memeriahkan lagi suasana Bandarku Ceria dan juga di keempat-empat daerah.