BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Sept – Kumpulan Berdikari-Tarbawi dari Program Eksekutif Muda Kohot ke-2 semalam telah menyerahkan derma dan manual kegiatan serta pelancaran kumpulan sukarelawan bagi Kompleks Rumah Kebajikan, JAPEM pada majlis yang berlangsung di Dewan Ittisal, Institut Perkhidmatan Awam di ibu negara.
Hadir pada majlis itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari yang turut merasmikan pelancaran kumpulan sukarelawan dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) bagi Kompleks Rumah Kebajikan serta menyerahkan sumbangan berjumlah $300 dan sijil penghargaan kepada ahli kumpulan sukarelawan UNISSA. Turut hadir ialah Pengarah Perancangan Jabatan Perkhidmatan Awam, Haji Aminuddin bin Haji Mohd Taib; Pengarah Institut Perkhidmatan Awam, Hajah Norezan binti Haji Hambali, ketua-ketua bahagian dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Menurut kenyataan yang diterima, sumbangan itu merupakan sebahagian daripada kutipan hasil jualan amal yang dijalankan dan bertujuan membantu para sukarelawan mengendalikan aktiviti-aktiviti bersama di rumah kebajikan tersebut.
Majlis juga menyaksikan penyerahan sumbangan derma berjumlah $600 dan manual kegiatan bagi pihak Kompleks Rumah Kebajikan yang diterima oleh Penolong Pengarah Kebajikan kompleks tersebut, Dayang Noryani binti Haji Abdul Rani. Ia merangkumi sumbangan berupa peralatan-peralatan sekolah, buku-buku, risalah dan pakaian.
Penyerahan manual, pelancaran sukarelawan dan sumbangan bertujuan mengembangkan lagi usaha untuk meningkatkan kesejahteraan bagi setiap lapisan masyarakat di negara ini, khususnya bagi memastikan golongan yang memerlukan bimbingan dan pertolongan terutamanya penghuni Kompleks Rumah Kebajikan.