Kumpulan berpesta dihukum penjara dan denda

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – Mahkamah Majistret, kelmarin, telah menjatuhkan hukuman penjara dan denda ke atas sekumpulan lelaki dan perempuan yang menghadiri pesta di tempat pengasingan setelah mereka mengaku bersalah.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Pemangku Majistret Kanan Pengiran Hazirah binti Pengiran Haji Mohd Yusof mempertimbangkan pengakuan bersalah awal defendan-defendan, rayuan supaya hukuman diringankan dan latar belakang individu defendan, situasi keluarga dan rekod bersih mereka.

Muhammad Dzulhelmi bin Zulkifli dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan denda $1,500 dengan tambahan tiga bulan penjara jika gagal membayar denda.

Hezrin bin Sumin, Ahmad Hafizan bin Sufian, Mohd Izzat bin Abdul Rahman, Nur Hadi Ilhamsyah, Jorainie @ Ainie binti Jormasie, Mohd Amir Muqri bin Haji Awang Mohd Taha, Mohammad Mateen bin Abdullah Mohammad Cyrus, Malai Tsaqifah binti Haji Malai Yusri dan Fatin Nabilah binti Azman pula dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan denda $1,500 dengan tambahan tiga bulan penjara jika gagal membayar denda.

Muhd Wafi Mahyuddin bin Muhd Jair, Amirul Hafiz bin Amir Mahmood, Mohd Amiruddin bin Mohammad, Abdul Hafiz bin Abdul Rahim, Mohd Azizan bin Mohd Marzuki dan Qurratu’aini Bazlaa binti Azman pula dijatuhi dua bulan penjara.

Manakala itu, Latifah Ali dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan denda $2,500 dengan tambahan lima bulan penjara jika gagal membayar denda.

Dalam menjatuhkan hukumannya, pemangku majistret kanan menyatakan bahawa hukuman tahanan adalah perlu kerana terdapat kepentingan awam terhadap kes berkenaan, kesalahan dilakukan pada waktu kritikal apabila negara masih bimbang mengenai virus COVID-19 yang sangat mudah berjangkit.

Beliau berkata dengan keadaan negara pada masa kesalahan dilakukan adalah faktor relevan yang mesti diambil kira dalam memutuskan hukuman sesuai dan pada masa itu terdapat tanggungjawab sivik untuk mematuhi sekatan-sekatan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Beliau menekankan mengenai keputusan defendan-defendan untuk secara terang-terangan mengingkari nasihat kerajaan mengenai penjarakan sosial dan bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa perhimpunan sosial diburukkan lagi dengan fakta bahawa ia diadakan dalam ruang tertutup di mana alkohol dan dadah diambil serta kanak-kanak bawah umur dibenarkan ikut serta.

Satu lagi fakta memburukkan adalah beberapa defendan tidak saling mengenali dan menambah kepada elemen kecuaian yang mana ia menunjukkan kesemberonoan mereka dalam membahayakan nyawa mereka sendiri berada dekat dengan orang tidak dikenali yang berkemungkinan positif COVID-19.

Sebilangan mereka malah berkongsi alat mengambil dadah yang dibawa oleh Latifah Ali. Kecuaian dan tindakan mementingkan diri sendiri defendan menunjukkan mereka tidak mengendahkan nyawa manusia.

Pemangku majistret kanan menyatakan bahawa bagi kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, hukuman denda adalah sesuai bagi pesalah bagaimanapun, bagi kesalahan memiliki alat mengambil dadah, ia diburukkan lagi disebabkan fakta bahawa Latifah Ali mempunyai alat berkenaan walaupun ia bukan miliknya atau bagi kegunaan dirinya, ia jelas dibawa bagi kegunaan orang lain yang hadir semasa perhimpunan itu.

Pemangku majistret kanan juga mengarahkan hukuman penjara di bawah Seksyen 269 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 dijalankan segera. Beliau memberikan tempoh selama seminggu bagi para defendan membayar denda mereka sepenuhnya dan jika gagal, hukuman penjara tambahan akan berjalan secara berturutan dengan hukuman penjara di bawah Seksyen 269.

Beliau turut mengarahkan semua peralatan mengambil dadah yang dirampas diserahkan kepada kerajaan untuk segera dimusnahkan dan bagi Muhmmad Dzulhelmi, Hezrin, Ahmad Hafizan, Mohd Izzat, Nur Hadi, Jorainie, Mohd Amir, Latifah Ali, Mohammad Mateen, Malai Tsaqifah and Fatin Nabilah sekali lagi menjalani ujian air kencing dan dibawa semula ke mahkamah bagi pendengaran seterusnya pada 25 Julai 2020.