Kumpulan bersenjata letupkan saluran paip

ADEN, 12 JUN – Sekumpulan lelaki bersenjata tidak dikenali bertindak meletupkan saluran paip di  wilayah Shabwa yang terletak di tenggara Yaman semalam, menyebabkan berlaku letupan besar, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang pegawai keselamatan.

“Sekumpulan lelaki bersenjata menggunakan bahan letupan dan meletupkan satu saluran paip minyak mentah di daerah Radhum dalam Wilayah Shabwa,” kata sumber keselamatan itu yang enggan dikenali.

Saluran paip yang menjadi sasaran menyalurkan minyak mentah dari telaga minyak Uqla ke sektor Ayadh di daerah Jardan, dan kemudian ke kawasan Alnushima yang berhampiran dengan sebuah pelabuhan minyak di pesisir Laut Arab, katanya.

Sumber rasmi daripada Kementerian Minyak Yaman berkata kira-kira 15,000 hingga 17,000 tong minyak dieksport setiap hari menerusi saluran paip yang disabotaj dari telaga minyak yang dikuasai kerajaan di Shabwa.

Pada akhir tahun lepas, pengeluaran minyak dan eksport disambung semula di Shabwa berikutan pergolakan bertahun-tahun yang memaksa syarikat-syarikat minyak di wilayah itu menghentikan operasi mereka.

Tiada kumpulan setakat ini mengaku bertanggungjawab atas letupan itu namun serangan serupa di rantau itu sebelum ini didakwa dilakukan militan al-Qaeda.

Shabwa memiliki lima sektor pengeluaran minyak mentah yang menghasilkan kira-kira 15,000 tong sehari. – Bernama