Kumpulan BMW fokus kemapanan

Oleh Syahmi Hassan

MUNICH, 30 JULAI – Kumpulan BMW menjadikan kemapanan dan kecekapan sumber sebagai teras hala tuju strategik syarikat berkenaan dengan Pengerusi Lembaga Pengurusan, Oliver Zipse mengumumkan butiran awal hala tuju strategik berkenaan di Munich, Jerman, pada 27 Julai lalu.

Menurut kenyataan yang diberikan, Kumpulan BMW dibangunkan bersandarkan asas yang kukuh, di mana selama bertahun-tahun dan dekad, syarikat berkenaan berulang kali menetapkan standard daripada segi kemapanan.

Prinsip penambahbaikan berterusan akan kekal menjadi teras strategi untuk mengurangkan pengeluaran karbon dioksida (CO2) dan meningkatkan kecekapan sumber-sumber.

Oliver Zipse berkata, “Saya percaya dan penuh yakin bahawa perjuangan menangani perubahan iklim dan bagaimana kita menggunakan sumber-sumber akan memutuskan masa depan masyarakat kita, dan Kumpulan BMW.

“Sebagai sebuah syarikat kereta premium, menjadi cita-cita kami untuk menerajui kemapanan. Sebab inilah kami mengambil tanggungjawab dan menjadikan isu-isu ini sebagai teras hala tuju strategik masa depan kami,” ujarnya.

Beliau menambah, hala tuju strategik berkenaan akan diketengahkan dalam semua bahagian, daripada pentadbiran dan pembelian kepada pembangunan dan pengeluaran hingga jualan.

“Kami membawa kemapanan ke tahap seterusnya,” tekan beliau.

Sebagai sebahagian daripada proses itu, Kumpulan BMW menetapkan sasaran yang jelas untuk pengurangan CO2 hingga 2030. Untuk pertama kalinya, ia diperluaskan ke keseluruhan kitaran hidup, daripada rantaian bekalan, pengeluaran hingga akhir fasa penggunaan.

Tujuannya adalah untuk mengurangkan pelepasan CO2 setiap kenderaan dengan ketara sekurang-kurangnya satu pertiga di seluruh spektrum.

“Kami telah membuat komitmen yang sangat jelas untuk Perjanjian Iklim Paris. Dengan hala tuju strategik yang baharu ini, kami menetapkan jalan yang sesuai dengan sasaran di bawah dua darjah.

Kami tidak hanya membuat pernyataan abstrak, kami telah mengembangkan rancangan 10 tahun secara terperinci dengan matlamat interim tahunan untuk jangka masa hingga 2030.

“Kami akan melaporkan kemajuan kami setiap tahun dan mengukur diri kami berdasarkan sasaran ini. Pampasan bagi lembaga pengurusan dan pengurusan eksekutif kami juga akan terikat dengannya,” tambahnya.

Kumpulan BMW menggariskan matlamatnya berdasarkan garis panduan Inisiatif Sasaran Berasaskan Sains yang diiktiraf, yang juga akan disertainya. Ini bermaksud, antara lainnya, pelepasan CO2 daripada pengeluaran bahan bakar juga termasuk (pendekatan ‘wheel-to-wheel’).

Setelah mengurangkan pelepasan CO2 bagi setiap kenderaan yang dihasilkan lebih daripada 70 peratus sejak 2006,

Kumpulan BMW kini menyasarkan untuk mengurangkan pelepasan (Scope 1 + 2 – Link) sebanyak 80 peratus lagi dari 2019 menjelang 2030. Pelepasan CO2 kemudiannya akan lebih rendah daripada 10 peratus berbanding jumlah pada 2006.

Dalam pada itu, dengan objektif untuk mengurangkan pelepasan CO2 daripada kenderaan sebanyak 40 peratus setiap kilometer, Kumpulan BMW menyasarkan untuk mempunyai lebih tujuh juta kenderaan elektrik di jalan raya, sekitar dua pertiga daripadanya dengan alat pemacu elektrik sepenuhnya, dalam tempoh 10 tahun.

“Kenderaan terbaik di dunia adalah yang mampan. Itulah sebabnya premium dan kemampanan akan lebih erat hubungannya pada masa depan.

“Kami menggunakan kepakaran teknologi kami yang luar biasa dalam kedua-dua perkakasan (hardware) dan perisian (software) bukan sahaja untuk menjadikan kenderaan ini diinginkan, tetapi juga untuk membantu mengurangkan CO2 melaluinya,” ujar Zipse

Zipse menjelaskan bahawa tujuan mereka adalah untuk memastikan rantaian bekalan yang paling mampan di seluruh industri. Untuk mencapainya, Kumpulan BMW tidak hanya memfokuskan pada tahap teratas pembekal tahap 1 (tier 1 suppliers), tetapi juga berusaha untuk meletakkan topik kemapanan di seluruh rantaian bekalannya.

Di samping menurunkan pelepasan CO2, pihak pengurusan sumber juga memainkan peranan penting dalam model perniagaan Kumpulan BMW.

Sebagai contoh, mobiliti elektrik (electromobility) tidak boleh bergantung sepenuhnya pada bahan utama dalam jangka panjang. Aliran sumber yang mendasari perlu berubah.