Saturday, March 15, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kumpulan hak asasi kritik tindakan Bangladesh

    DHAKA, Bangladesh, 7 Ogos – Sebuah kumpulan hak asasi manusia global hari ini menuduh kerajaan Bangladesh menggunakan langkah kasar dalam mengendali demonstrasi bantahan pimpinan pelajar yang meminta penggunaan jalan raya yang lebih selamat.

    Pemerhati Hak Asasi Manusia yang berpangkalan di New York berkata dalam satu kenyataan bahawa anggota parti pemerintah yang bersenjatakan kayu dan parang telah menyerang pembantah dan wartawan sejak pelajar membanjiri jalan raya pada 29 Julai selepas dua orang pelajar terbunuh dalam kemalangan jalan raya di ibu negara Dhaka.

    Beberapa wartawan, termasuk jurugambar Associated Press telah diserang. Kerajaan Perdana Menteri Sheikh Hasina telah menyangkal dakwaan mengatakan aktivis terbabit, walaupun laporan dan saksi telah memberikan gambaran berlainan.

    “Adalah memalukan sekiranya kerajaan Sheikh Hasina menggunakan samseng parti untuk menyasarkan pelajar yang menggesa penggunaan jalan raya yang lebih selamat,” kata Brad Adams, pengarah Asia di Pemerhati Hak Asasi Manusia.

    “Pihak berkuasa Bangladesh mesti menghentikan keganasan dengan serta-merta yang dirancang oleh penyokong kerajaan ke atas pembantah dan wartawan, dan menghormati hak kebebasan bersuara dan berkumpul dengan aman,” kata beliau.

    Penuntut Bangladesh berarak di jalan raya ketika demonstrasi diadakan di Dhaka, susulan kematian dua pelajar kolej akibat kemalangan jalan raya. – AFP

    Kumpulan hak itu juga mengkritik penahanan Shahidul Alam, jurugambar terkenal dan aktivis, atas dakwaan menyebar maklumat palsu mengenai bantahan dan propaganda terhadap kerajaan di bawah undang-undang teknologi maklumat.

    Sebuah mahkamah semalam membenarkan polis menahannya selama tujuh hari untuk disoal siasat. Rakan sekerjanya berkata Alam diseksa selepas dia ditahan pada malam Ahad.

    Kumpulan itu juga menuntut hukuman dijatuhkan ke atas penyerang dan bukannya aktivis. Ia juga berkata kerajaan harus memastikan anggota keselamatan menghormati standard hak asasi manusia mengenai penggunaan kekerasan, termasuk meleraikan tunjuk perasaan.

    “Namun sekali lagi, pihak berkuasa Bangladesh nampaknya bertekad untuk mengambil jalan pintas untuk menyelesaikan masalah, dan seterusnya mengecam mereka yang mengkritik,” kata Adams.

    “Pihak berkuasa seharusnya membebaskan sesiapa, termasuk Shahidul Alam, mereka telah dipenjarakan disebabkan kritikan aman.”

    Semalam, Amnesti Antarabangsa juga mengkritik kerajaan Hasina atas pengendaliannya terhadap situasi yang berlaku.

    Kekacauan lalu lintas sejak seminggu lalu mulai reda semalam, apabila tunjuk perasaan berubah menjadi bantahan sekali sekala. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda