Kumpulan Insyirah juara

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JAN – Kumpulan Insyirah berjaya mengumpul markah tertinggi sekali gus muncul juara bagi Kuiz Hijrah Mualaf 1441H, Peringkat Akhir yang berlangsung di Dewan Raya Radio Televisyen Brunei (RTB), Bandar Seri Begawan, hari ini.

Hadir untuk menyaksikan dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang kuiz berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keagamaan) di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohd Serudin bin

Haji Timbang selaku wakil Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Turut hadir ialah Ketua Perhubungan Kerajaan dan Projek Khas Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Haji Mohd Yusri bin Haji Wahsalfellah, para pengarah dan pegawai-pegawai kanan KHEU serta saudara-saudara baharu.

Pengarah Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh dalam ucapan alu-aluannya pada majlis berkenaan menyatakan bahawa kuiz itu merupakan satu kegiatan yang sangat bermanfaat bagi para mualaf supaya pengetahuan yang diperoleh melalui kelas-kelas bimbingan mualaf dapat memantapkan dan mengukuhkan lagi pengetahuan serta amalan beragama yang diamalkan seharian.

Haji Mohd Serudin menyampaikan hadiah kepada Kumpulan Insyirah selaku johan peringkat akhir Kuiz Hijrah Mualaf 1441H yang berlangsung di Dewan Raya RTB, kelmarin. – Gambar serahan PDI

Ia juga dapat meningkatkan lagi pengetahuan dan kefahaman agama Islam serta mengukuhkan lagi penghayatan beragama dalam kalangan mualaf khasnya dan kepada masyarakat amnya.

Dalam peringkat akhir kuiz berkenaan, tiga kumpulan bertanding untuk merebut kejuaraan iaitu Kumpulan Assyahadah, Kumpulan Qutbul Islam dan Kumpulan Insyirah.

Dengan mengumpul 74 mata, Kumpulan Insyirah muncul juara kuiz dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak $1,500, naib juara disandang oleh Kumpulan Qutbul Islam dengan 60 mata dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak $1,200 manakala itu, tempat ketiga disandang oleh Kumpulan Assyahadah dengan 52 mata dan memenangi wang tunai $900.

Sementara itu, tiga buah kumpulan memenangi hadiah sagu hati berupa wang tunai $450.

Kuiz Hijrah Mualaf 1441H Peringkat Separuh Akhir telah diadakan pada 21 Januari lalu dengan menampilkan enam pasukan, tiga orang peserta setiap pasukan, yang terdiri daripada mualaf di Negara Brunei Darussalam.

Kuiz dibahagikan kepada empat pusingan iaitu pusingan pertama mengenai Pelajaran Fiqh, pusingan kedua mengenai Pelajaran Tauhid, pusingan ketiga mengenai Pelajaran Sejarah Islam dan pusingan keempat mengenai Ibadat.