Kumpulan ke-4 berlepas ke Manila

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Seramai 13 orang ahli Kontinjen Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada atlet boling 10 pin, olahraga, pegawai-pegawai dan fisioterapi hari ini telah bertolak ke Filipina bagi menyertai kejohanan Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) ke-30.

Berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan) KKBS Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said, serta pegawai-pegawai KKBS.

Semasa ditemui oleh pihak media di Ruang Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada petang tadi, Awang Muhammad Noor Firdaus Ar-Rasyid, atlet yang diamanahkan untuk menjadi pembawa bendera negara pada Majlis Pembukaan Sukan SEA itu nanti menjelaskan bahawa beliau berharap agar dapat meraih pingat sekali gus dapat mencipta rekod kebangsaan dan rekod peribadinya sendiri.

Beliau yang menyertai kejohanan Sukan SEA buat kali kedua ini juga merupakan pemegang rekod kebangsaan dalam acara larian 200 meter iaitu 21.39 saat.

Selaku pembawa bendera negara pada Sukan SEA ke-30 ini, beliau akan mengambil bahagian dan mewakili negara dalam acara olahraga iaitu larian 200 meter.

Edisi Sukan SEA kali ini, Kontinjen Negara Brunei Darussalam akan menyertai sebanyak 14 acara sukan iaitu akuatik, olahraga, sukan biliard, lawan pedang, bola sepak, golf, karate, boling padang, bola jaring, pencak silat, polo, tekwando, boling 10 pin dan wusyu.

Brunei Darussalam mula mengikuti Sukan SEA pada tahun 1977 dan hingga edisi lepas negara telah memperoleh 12 pingat emas, 51 pingat perak dan 178 pingat gangsa, pencapaian terbaik ialah semasa negara menjadi tuan rumah pada tahun 1999 dengan meraih empat pingat emas, 12 pingat perak dan 32 pingat gangsa.

Pada Sukan SEA ke-29 di Kuala Lumpur, kontinjen negara telah berjaya meraih 14 pingat secara keseluruhan iaitu lima pingat perak dan sembilan pingat gangsa melalui sukan wusyu, boling padang, pencak silat, sepak takraw, bola jaring, karate dan polo.

Sementara itu, kumpulan seterusnya akan bertolak ke Filipina pada hari Ahad, 1 Disember 2019.

Pengiran Mohammad Amirrizal dan Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin ketika bergambar ramai bersama kontinjen negara sebelum berlepas ke Manila.