Saturday, June 10, 2023
27.6 C
Brunei

    -

    Kumpulan kedua perantis GAP dirai

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN 27 OKT – Kumpulan kedua perantis yang telah tamat Program Perantisan Graduan (GAP) selama enam bulan telah diraikan pada majlis yang berlangsung di Ruang Komuniti Baiduri, Ibu Pejabat Bank Baiduri, kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, di sini, hari ini, acara itu dihadiri oleh para perantis bersama ahli keluarga, ketua-ketua jabatan serta anggota jawatankuasa pengurusan bank berkenaan.

    Para perantis menerima sijil daripada bank dan setiap perantis berpeluang untuk menyampaikan pembentangan pendek mengenai perjalanan dan perkembangan mereka dalam program itu, termasuk mengimbas kembali pelbagai acara di mana mereka terlibat.

    Bagi kumpulan kedua berkenaan, seramai 11 orang perantis telah ditawarkan pekerjaan dengan kumpulan bank tersebut.

    Salah seorang perantis yang diraikan, Dayang Siti Nur Nabilah Aqilah binti Rahim yang kini telah ditawarkan jawatan dalam Group Human Resources and Administration, berkata dalam enam bulan terakhir ini beliau telah belajar dan memperoleh begitu banyak pengetahuan dan kemahiran yang pastinya akan membantu dirinya berkembang sebagai seorang individu secara peribadi mahupun profesional.

    Ti Eng Hui bergambar ramai bersama perantis yang telah menamatkan program pada majlis yang berlangsung di Ruang Komuniti Baiduri, Ibu Pejabat Bank Baiduri, baru-baru ini. – Gambar serahan Bank Baiduri

    Beliau menambah lagi, kini dirinya tidak sabar untuk menggunakan semua pengetahuan dan kemahiran serta pengalaman yang telah diperolehi daripada program tersebut untuk digunakan dalam bidang kerjaya tugasan yang ditawarkan.

    Sementara itu, Awang Ahmad Nazim bin Haji Amer Iskandar, yang telah ditawarkan jawatan di Baiduri Capital, menyatakan pengalaman dirinya dalam GAP merupakan pengalaman pembelajaran yang hebat kerana beliau tidak pernah mempunyai pengalaman kerja sebelum ini.

    “Keseluruhan pengalaman ini membuka mata kerana ia meningkatkan kemahiran, kebolehpasaran dan perkembangan diri,” tambahnya.

    Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui dalam ucapan perasmiannya memuji para perantis kerana berjaya menamatkan program itu serta segala sumbangan mereka kepada bank sepanjang tahun ini.

    Beliau juga berkata program seperti GAP menerima sambutan popular kerana ia menambah nilai kepada pembangunan profesional graduan-graduan tempatan.

    “GAP menawarkan sebuah peluang yang unik bagi para graduan yang baru menamatkan pengajian mereka untuk memperoleh pengalaman bekerja yang bernilai dan memberikan mereka tapak yang lebih kukuh dalam pasaran pekerjaan.

    “Perantis kami bukan sahaja menghadiri kursus yang bertujuan membantu mereka memperoleh kemahiran insaniah seperti kemahiran komunikasi yang berkesan, pengurusan projek, dan kerja berpasukan untuk meningkatkan kesediaan mereka secara keseluruhan, tetapi mereka juga terlibat dalam inisiatif kami untuk memberi pulangan kepada masyarakat,” tambahnya.

    Kini program ini dibuka bagi permohonan kumpulan ketiga yang mana terbuka kepada warganegara Brunei dan penduduk tetap yang telah menamatkan pengajian dalam tempoh tiga tahun lepas dengan kelayakan minimum ijazah sarjana muda dan tanpa pengalaman kerja terdahulu.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Jepun semak semula undang-undang

    TOKYO, 9 JUN - Jepun meluluskan undang-undang imigresen yang membenarkan kerajaan menghantar pulang pencari suaka yang gagal, walaupun mendapat tentangan daripada parti pembangkang dan...
    - Advertisment -