Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JAN – Kumpulan kedua murid Taman Asuhan (TA) 1 dan 2, Taman Asuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (TASKA YSHHB) telah memulakan sesi persekolahan hari pertama mereka hari ini.
Tinjauan Media Permata menyaksikan murid-murid yang ditemani ibu bapa datang ke TASKA sejak 7:15 pagi lagi dengan mematuhi langkah-langkah prosedur operasi standard (SOP) yang disarankan Kementerian Kesihatan.
Dalam usaha memastikan keselamatan murid-murid dan warga sekolah, murid-murid TA 1 dan 2 turut dikehendaki membuat ujian saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (ART) seminggu sekali sebagai salah satu langkah yang perlu dipatuhi.
Pengetua TASKA, Datin Hajah Zainab binti Haji Abdul Wahab semasa ditemui menjelaskan, pelbagai persiapan telah dibuat untuk mengalu-alukan murid-murid TASKA kembali ke sekolah terutama sekali murid-murid TA 1 yang baharu memulakan alam persekolahan tahun ini.
Ke arah memastikan langkah SOP dipatuhi, pemakaian pelitup muka, membuat penjarakan sosial selain tuala kecil dan pensanitasi tangan, pihak sekolah juga hanya membenarkan seorang penjaga untuk menghantar anak-anak mereka.
Beliau seterusnya menjelaskan, untuk peringkat pertama Fasa Awal Endemik kembali ke sekolah, waktu pembelajaran juga berbeza dari hari biasa di mana waktu pembelajaran dikurangkan kepada dua jam untuk murid TA 1 manakala untuk murid TA 2 dipendekkan kepada dua jam setengah mengikut hari-hari yang ditetapkan.
“Pihak pentadbiran TASKA telah membahagikan murid-murid kepada tiga kumpulan kecil dan memberikan jadual bagi hari-hari mereka hadir secara fizikal ke sekolah.
“Selain hadir bersekolah secara fizikal pada hari-hari yang tertentu, murid-murid akan diberikan pautan kandungan pembelajaran yang dimuat naik secara dalam talian melalui platform bersesuaian bagi mata pelajaran agama, Komputer, Muzik dan Bahasa Mandarin sementara Home Pack Learning (HPL) tidak akan diberikan,” jelasnya.
Semasa pandemik ini, pihak pentadbiran serta guru-guru TASKA telah pun membuat perbincangan mengenai pembelajaran yang akan dijalankan semasa pandemik ini.
“Pembelajaran tersebut mestilah menarik, menyeronokkan, dapat mempertingkatkan kecemerlangan pembelajaran dengan memberikan aktiviti-aktiviti yang menekankan konsep penemuan dan pengalaman langsung (Discovery and first hand experience) serta pembelajaran berasaskan projek (project-based learning),” jelasnya.
Manakala itu, bagi ibu bapa yang masih belum bersedia untuk menghantar anak-anak mereka mengikut pembelajaran secara bersemuka, jelasnya, pihak pentadbiran TASKA akan memberikan HPL dan pautan kandungan pembelajaran yang dimuat naik secara dalam talian melalui platform tertentu.