Kumpulan Mirror pukau peminat tempatan HK

HONG KONG – Di tengah-tengah gedung membeli-belah Hong Kong, ratusan orang bersorak sambil menjerit. Namun ia bukan bantahan demokrasi.

Sebaliknya, orang ramai telah berkumpul untuk menyaksikan band lelaki terbaharu yang menjadi kegilaan di kalangan remaja bandar itu dan sumber kebanggaan penduduk tempatan.

Mereka menanti-nanti kemunculan Edan Lui, seorang daripada 12 anggotaband tempatan Mirror yang telah memukau Hong Kong, yang telah tiba untuk mempromosi tayangan filem animasi kanak-kanak di pawagam tempatan.

Jeritan nyaring kedengaran ketika penyanyi tersebut naik ke pentas dan penonton yang menayangkan poster menjadi riuh.

Di antara peminat yang teruja adalah Chan Yuk-kwai, 74, yang memutuskan tidak memberitahu anak perempuannya bahawa dia akan menghabiskan hujung minggunya cuba melihat seorang lelaki yang sebaya dengan cucunya.

Edan Lui (tengah) anggota kumpulan penyanyi Mirror, bergambar bersama peminatnya di sebuah pusat membeli-belah di Hong Kong. – AFP
Anson Kong (tengah), Lok Man Yeung (dua kanan) dan TigerYau (kanan), anggota kumpulan Kantonis pop Mirror, bercakap dengan media semasa satu acara di pusat membeli-belah di Hong Kong. – AFP
Peminat mengambil gambar di depan papan iklan memaparkan potret Anson Lo, anggota band Mirror di Hong Kong. – AFP

Sehingga baru-baru ini, Chan mengakui opera Kantonis merupakan satu-satunya hiburan muzik yang diminatinya, namun Mirror telah memberikannya sesuatu yang baharu.

Dia telah menghabiskan berbulan-bulan mendapatkan maklumat mengenai kumpulan itu, sering kali bertanyakan ahli keluarganya apabila dia ternampak papan iklan yang memaparkan anggota band yang tampan itu.

“Perasaan ini bagaikan satu keajaiban,” katanya, berbeza dengan rasa keterujaan Mirror berbanding dengan berita politik dan koronavirus yang suram berbulan-bulan lamanya.

“Mereka merupakan sumber tenaga positif dan kegembiraan saya,” tambahnya.

Mirror menawarkan kelegaan yang amat diperlukan serta kepercayaan bahawa budaya Kantonis di bandar itu masih berkembang pesat.

Hong Kong pernah menghasilkan bintang pop yang amat popular di kalangan peminat di seluruh Asia.

Namun dalam beberapa dekad lalu, ia telah dibayangi oleh persembahan nyanyian kumpulan pop Taiwan dalam bahasa Mandarin, serta kebangkitan K-pop Korea Selatan.

Mirror telah muncul sebagai kumpulan band Kantonis pop paling popular sejak pertunjukan superstar lelaki pada pertengahan 1990, digelar ‘Four Heavenly Kings’ oleh media tempatan.

Laman peminat Facebook mereka mempunyai 140,000 pengikut sementara laman gurauan bergelar ‘My Wife Married Mirror and Left My Marriage in Ruins’ mempunyai dua kali ganda jumlah berkenaan.

“Sementara masyarakat rasa tertindas, kesedaran penduduk untuk menyokong isu tempatan juga telah meningkat,” beritahu Melody, pengurus kelab peminat Edan Lui, kepada AFP.

“Ia mencetuskan motivasi untuk menyokong kumpulan band penyanyi lelaki tempatan.”

Band itu muncul daripada rancangan mencari bakat pada 2018 dan sementara ramai peminat telah menerima lirik lagu mereka yang rancak, kumpulan itu cuba menjauhi diri mereka daripada terbabit dalam sebarang unsur politik.

Beberapa jam sebelum kemunculan Lui di pusat membeli-belah, ramai peminat beratur panjang di pelabuhan bandar untuk berswafoto bersebelahan papan iklan McDonald’s baharu yang memaparkan anggota band Mirror, Anson Lo.

Pegawai polis juga hadir, tetapi meninggalkan tempat itu selepas menasihatkan peminat supaya memberikan ruang yang cukup untuk orang lain.

Amy, seorang pekerja perubatan dalam umur 40an, mengambil gambar sambil memegang dua cawan minuman McDonald’s istimewa yang telah disokong oleh Lo.

“Ramai penduduk di Hong Kong mempunyai rungutan yang tidak dapat diluahkan secara bebas,” beritahunya kepada AFP.

“Kumpulan band memberikan kami sesuatu yang mengagumkan bahawa Hong Kong masih mempunyai kumpulan penyanyi muda yang begitu berbakat.”

Satu lagi rakan band My Little Airport juga mempunyai ramai pengikut menerusi lirik lagu Kantonis mereka, dipenuhi dengan loghat tempatan.

Kumpulan itu tidak mempunyai sokongan korporat seperti Mirror, namun tiket ke dua daripada pertunjukan akan datang mereka habis dijual dalam beberapa minit.

Kitty Ho, pengulas kebudayaan dan peminat Mirror baru-baru ini, berkata kumpulan band lelaki itu membenarkan penduduk Hong Kong menyedari bahawa mereka masih boleh menghasilkan persembahan muzik ‘terbaik Asia.’

Menurutnya, penduduk Hong Kong tidak perlu mencari di luar negara untuk mendapatkan inspirasi muzikal.

“12 pemuda ini, yang muncul di kalangan kami, juga mampu melakukannya.” – AFP