INDIA – Chaya Mohite dengan perlahan cuba untuk menekan pedal minyak dan berhati-hati membawa kenderaan lanca miliknya yang berwarna merah ketika dia sedang membawa pelanggannya ke destinasi yang mereka ingin pergi.
Pemandu ini merupakan wanita yang pertama memandu kenderaan lanca sebagai memenuhi saranan daripada skim pihak kerajaan yang mana bertujuan untuk memperkasa hak asasi wanita di negara itu.
Wanita yang berumur 45 tahun itu merupakan salah seorang daripada 19 orang wanita yang mana baru-baru ini telah mula bekerja sebagai pemandu lanca dan membawa para pelanggan menuju ke destinasi mereka dan menelusuri kawasan jalan raya yang padat di ibu kota India, Mumbai. Apa yang menarik, para wanita ini membawa kenderaan lanca iaitu sejenis kenderaan yang mempunyai tiga roda dan meredah kesesakan lalu lintas di kawasan Mumbai.
“Pekerjaan ini sebenarnya lebih baik berbanding melakukan kerja-kerja di rumah di mana dengan pekerjaan ini, saya mampu memperolehi lebih banyak wang dan sedikit sebanyak mampu menjamin masa depan kami,” kata Mohite kepada wartawan AFP dan dia merupakan salah seorang pekerja yang terakhir ketika menghadiri latihan untuk menggunakan kenderaan itu.
Mohite merupakan ibu kepada tiga orang anak dan telah menghabiskan selama dua bulan untuk mempelajari bagaimana untuk menggunakan dan mengemudi kenderaan itu di pusat latihan yang disediakan di tengah Mumbai yang dipenuhi dengan kediaman yang padat. Mohite sangat gembira dengan kepakaran baru yang dialaminya itu dan sudah bersedia untuk menunjukkan kepakaran itu demi memperbaiki keadaan ekonomi keluarga kepada yang lebih baik.


“Sebenarnya, saya langsung tidak tahu bagaimana untuk menggunakan basikal namun hari ini, saya sudah pandai untuk menggunakan lanca, saya sudah mampu berdikari dan ini membuatkan saya lebih gembira dan seronok,” tambah Mohite yang menaruh harapan
untuk memperolehi 1,000 rupee (AS$15) dalam masa satu hari kepada wartawan AFP.
Mohite memperolehi kelebihan ini setelah satu skim diperkenalkan oleh pihak kerajaan Maharashta yang berpangkalan di Mumbai dan telah menyimpan sekurang-kurangnya lima peratus permit lanca atau auto untuk kaum wanita.
Perancangan ini telah diumumkan pada awal tahun 2016 oleh pihak tersebut yang mana mengatakan bahawa sekitar 465 lesen tersedia untuk kaum wanita di Mumbai dan juga kawasan kejiranan Thane.
Tidak seperti kebanyakan skim di New Delhi dan Ranchi, di mana kenderaan lanca yang berwarna merah jambu akan dipandu oleh para wanita bertujuan untuk inisiatif keselamatan kaum wanita namun bagi organisasi Maharashtra, para pemandunya akan mengambil kedua-dua gender sama ada lelaki dan juga perempuan.
Sedia untuk memandu di mana sahaja
Perkhidmatan telah dimulakan di kawasan Thane pada tahun lepas namun Mohite dan juga rakan-rakannya yang mengenakan pakaian seragam berwarna putih merupakan kumpulan pemandu lanca wanita pertama menjalankan lanca di kawasan metropolis Mumbai yang penuh padat dengan penduduk dan juga kenderaan-kenderaan yang lain. “Kami telah mengajar mereka dari A ke Z tentang pemanduan lanca dengan baik. Kini, mereka sudah pakar dan telah lulus ujian pemanduan lanca dari RTO (Regional Transport Office),” kata Sudhir Dhoipode, jurulatih wanita lanca kepada wartawan AFP.

Dhoipode mengatakan bahawa ketika ini dia sedang melatih sekitar 40 wanita untuk memandu lanca dengan betul manakala sekitar 500 permohonan telah diterima untuk mengikuti skim ini walaupun beberapa pihak komuniti masih lagi menentang penglibatan wanita dalam kerjaya ini apatah lagi di sebuah negara yang konservatif.
“Kadang-kala kami telah diperolok-olokkan kerana meninggalkan kediaman kami dan memilih untuk menjadi pemandu lanca namun semua itu kami cuba tepis malah kami cuba untuk memberikan satu inspirasi kepada kaum wanita yang lain untuk tampil berani dan mengambil peluang inisiatif terbaik ini,” kata salah seorang pemandu, Anita Kardak kepada wartawan AFP.
Permit kenderaan lanca sebenarnya dicari terutama di Mumbai dan kebanyakan penduduk beranggapan bahawa mempunyai permit kenderaan ini memberikan satu peluang perniagaan yang besar malah sesetengah pemilik permit akan menyewakan permit mereka dan meminjamkan kepada pemandu yang lain setelah giliran kerja mereka sudah selesai.
Pihak pengangkutan di negara itu telah membuat satu keputusan bagi kaum wanita untuk memiliki lanca yang berwarna lain dengan warna kuning dan hitam yang mana bertujuan untuk mengelakkan mereka tertindas dengan penglibatan pemandu lelaki.
Sebenarnya situasi itu menimbulkan rasa takut dalam kalangan pemandu wanita kerana risiko tinggi mereka yang akan lebih menonjol daripada pemandu lelaki namun Mohite tidak menghiraukan situasi itu.
“Saya tidak terfikir bahawa situasi ini akan menimbulkan masalah dan isu kerana kami akan berupaya menjaga diri kami sendiri. Memandu lanca sebenarnya seronok dan saya sudah bersedia untuk memandu di mana saja kawasan di Mumbai,” tambah Mohite mengakhiri temu ramah bersama dengan wartawan. – AFP