Kumpulan Pengurusan Kewangan RB dapat pengiktirafan

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) hari ini menerima Anugerah Kumpulan Pengurusan Kewangan Terbaik Syarikat Penerbangan Negara bagi Asia Tenggara 2020 daripada panel hakim Capital Finance International (CFI.co.) yang berpusat di London, United Kingdom (UK).

Menurut kenyataan yang diterima di sini, panel hakim CFI.co mengiktiraf Kumpulan Pengurusan Kewangan RB berdasarkan usaha RB dalam menawarkan pengalaman menarik dan keindahan negara ini kepada pelancong termasuklah masjid-masjid berkubah emas dan hutan simpan biodiversiti serta kekerapan jadual penerbangannya ke seluruh Asia, Timur Tengah, Australia dan UK.

Selain itu, syarikat penerbangan milik kerajaan ini juga mempunyai Skytrax 4 bintang dan perkadaran 5 bintang APEX yang dikenali bagi perkhidmatan dan layanan mesra rakyat Brunei.

RB juga menyokong matlamat produktiviti dan pertumbuhan pelbagai syarikat dalam industri yang lebih luas, mengagumkan panel hakim CFI.co terhadap kemahiran kumpulan pengurusan kewangan yang menjadi pemacu perkembangan pesat syarikat ini.

Pihak atasan Kumpulan Pengurusan Kewangan RB bergambar ramai dengan kakitangan dan anugerah yang diterima. – Gambar serahan RB