Kumpulan pertama pelajar Sarawak di Labuan dihantar pulang

LABUAN, 23 NOV – Seramai 102 pelajar di lima buah institusi pendidikan di Labuan dihantar pulang ke kampung masing-masing di Lawas dan Limbang, Sarawak, melalui pengangkutan feri penumpang dari Terminal Feri Anta-rabangsa Labuan hari ini.

Program penghantaran pulang kumpulan pertama pelajaritu merupakan inisiatif Pejabat Residen Limbang dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, susulan penutupan institusi pendidikan dan sekolah di seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan, Rithuan Ismail, berkata semua pelajar perlu menjalani ujian saringan COVID-19, diikuti kuarantin wajib selama 14 hari sebaik tiba di Limbang.

“Pihak JPBD Labuan telah menyelesaikan bahagian penyelarasan dengan memastikan semua pelajar menaiki bas seawal 6 pagi dan bertolak dari asrama masing-masing ke Terminal Feri Antarabangsa Labuan untuk menaiki feri yang menunggu pada 8:30 pagi.

“Mereka (pelajar) telah menjalani ujian yang ditetapkan dan barang-barang mereka telah disanitasi sebelum menaiki bas,” katanya kepada pemberita selepas mengucapkan selamat jalan kepada pelajar berkenaan di terminal feri di sini. – Bernama

Para pelajar bersedia untuk pulang ke negeri masing-masing melalui Terminal Feri Antarabangsa Labuan menggunakan pengangkutan feri ekspres penumpang ke Lawas dan Limbang, kelmarin. – Bernama