Kumpulan Suu Kyi kumpul 180,000 bukti pencabulan hak asasi junta

YANGON, 7 APRIL – Sebuah kumpulan yang mewakili kerajaan pilihan rakyat Myanmar yang digulingkan berkata hari ini, ia telah mengumpulkan 180,000 bukti yang menunjukkan pencabulan hak asasi oleh junta, termasuk penyeksaan dan pembunuhan di luar undang-undang.

Negara itu berada dalam kekacauan sejak tentera menggulingkan pemimpin pilihan rakyat, Aung San Suu Kyi pada 1 Februari lalu, dengan hampir 600 orang terbunuh susulan tindakan keras terhadap tunjuk perasaan anti rampasan kuasa.

Jawatankuasa bagi mewakili Pyidaungsu Hluttaw (CRPH), sebuah kumpulan yang mewakili ahli parlimen daripada parti Suu Kyi – berkata peguam mereka akan bertemu dengan penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membincangkan kekejaman didakwa dilakukan junta.

“CRPH telah menerima 180,000 jenis bukti. Bukti ini menunjukkan penyalahgunaan hak asasi manusia secara meluas oleh tentera,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan. – AFP