Kumpulan terakhir pelajar dihantar pulang

LABUAN, 18 MEI – Kumpulan terakhir seramai 154 pelajar Kolej Matrikulasi Labuan (KML)  dihantar pulang ke Tawau, Sabah pagi ini dengan lapan buah bas, dengan itu kesemua 2,232 pelajar KML telah pulang ke kampung halaman masing-masing di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Penghantaran pulang pelajar yang terkandas di institusi pengajian tinggi itu berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang penularan COVID-19,  dijayakan dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan, Kementerian Pendidikan, pegawai KML dan polis sejak 2 Mei lepas.

“Kami akhirnya menghantar pulang semua pelajar KML dalam tempoh 16 hari untuk kembali bersama keluarga,” kata pengerusi jawatankuasa bencana Dr Fary Akmal Osman, selepas menghantar kumpulan terakhir pelajar KML itu di Terminal Feri Labuan.

Sejak PKP berkuat kuasa 18 Mac lepas, KML mempunyai jumlah pelajar terbanyak yang terkandas di pulau ini diikuti Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dengan 1,098 dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) dengan 39 pelajar. – Bernama

Gembira…Para pelajar Kolej Matrikulasi Labuan akhirnya kembali ke rumah mereka di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dengan kumpulan terakhir 154 pelajar menaiki bas ke Tawau melalui feri dari Labuan ke Sabah pagi ini. – Bernama