KUALA LUMPUR, 16 MEI – Sekumpulan tokoh wartawan yang menggelarkan diri mereka Group of Eminent Journalists hari ini mengutuk serangan ke atas pejabat organisasi media di Gaza oleh tentera rejim Israel semalam.
Kumpulan itu berkata sukar untuk diterima akal bahawa pada zaman sekarang pasukan tentera boleh menyasarkan pejabat pengamal media.
“Serangan udara Israel itu memusnahkan Al-Jalas Tower yang menempatkan pejabat beberapa organisasi media termasuk Associated Press dan Al Jazeera.
“Semua tindakan ini dirancang, bermula dengan pengusiran sejumlah keluarga Palestin daripada kejiranan Sheikh Jarrah, serangan pelampau sayap kanan ke atas rakyat Palestin, serangan terhadap jemaah di Masjid al-Aqsa dan serangan ke atas beberapa sasaran di Palestin,” kata kumpulan itu dalam kenyataan bersama di sini.
Kenyataan itu ditandatangani oleh Tan Sri Johan Jaaffar, Datuk Seri Wong Chun Wai, Datuk Hussamuddin Yaacub, Datuk A. Kadir Jasin, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Dr Chamil Wariya, Datuk Yong Soo Heong, Datuk Zakaria Wahab dan Datuk Ahiruddin Atan. Mereka turut menggesa pengamal media Israel memainkan peranan sebagai hati nurani negara dan mereka perlu bersuara tentang hak rakyat Palestin untuk hidup bersama.
Kumpulan itu berkata mereka terkejut dengan hakikat sesetengah segmen media Barat merujuk rakyat Palestin sebagai militan, radikal dan pengganas, istilah yang digunakan sewenang-wenangnya bagi mewajarkan kekejaman yang dilakukan oleh tentera Israel.
“Apa yang berlaku ialah bukan tentang apa yang dikatakan sebagai hak Israel untuk hidup. Kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin sejak tujuh dekad lalu melampaui batasan hak asasi dan maruah manusia,” kata kumpulan itu. – Bernama
