KUALA LUMPUR, 11 MEI – Memakai penutup mulut dan hidung di tempat awam merupakan cara kepada membantu pengawalan jangkitan COVID-19, kata Persatuan Thoracic Malaysia.
Oleh itu, persatuan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, adalah penting setiap nasihat yang diberikan kerajaan kepada rakyat Malaysia termasuk mengenakan penutup mulut dan hidung, perlu berdasarkan bukti saintifik, sekali gus mengekang penularan jangkitan COVID-19 di samping menanam keyakinan rakyat.
“Bukti saintifik menunjukkan penggunaan penutup mulut dan hidung berkesan dalam mengawal jangkitan awal. Inilah kunci inisiatif kesihatan awam, kerana sebilangan besar jangkitan COVID-19 berlaku pada fasa asimptomatik. Ia terbukti berkesan sama seperti amalan membasuh tangan sebagai langkah mengurangkan jangkitan,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, bukti daripada negara lain menunjukkan strategi mengenakan pemakaian penutup mulut dan hidung sebagai sebahagian daripada pendekatan pelonggaran seharusnya dinyatakan kepada seluruh rakyat Malaysia, dan itulah jalan terbaik. – Bernama





























