LAHAD DATU, 4 SEPT – Tidak pernah terlintas di fikiran Blison Zainudin, peniaga minuman dan makanan serbaneka, akan menerima kunjungan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke gerainya hari ini yang terletak kira-kira 150 kilometer dari Bandar Tawau.
Blison, 39, menyifatkan keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bersama delegasi ke gerainya yang terletak di tepi Jalan Lahad Datu-Tawau di sini memberi limpahan rezeki buatnya apabila Seri Paduka berdua sempat meluangkan masa berehat hampir 20 minit dan menikmati air kelapa sebelum meneruskan jelajah Kembara Kenali Borneo.
“Syukur Alhamdulillah. Tuanku banyak membantu perniagaan saya hari ini. Saya sebagai rakyat di Lahad Datu ini rasa bangga kerana dapat bertemu Yang di-Pertuan Agong dan keluarga Tuanku buat pertama kali,” kata penduduk Kampung Silam itu kepada Bernama.
Jalan Lahad Datu-Tawau adalah laluan yang dilalui Seri Paduka berdua bersama rombongan semasa perjalanan menuju ke Lahad Datu.
Lahad Datu merupakan antara lokasi persinggahan rombongan Yang di-Pertuan Agong dalam jelajah Kembara Kenali Borneo yang bermula hari ini di Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak pada 13 September, melibatkan perjalanan sejauh 2,154 kilometer merentasi Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei. – Bernama
