Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JUN – Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, hari ini, telah menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Perancis ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Bernard Regnauld-Fabre.
Majlis yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis itu turut dihadiri oleh Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis-majlis Mesyuarat, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar.
Menurut Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat, pada kunjungan hormat tersebut, kedua-dua belah pihak menyentuh beberapa isu semasa yang menjadi keprihatinan dan kepentingan bersama.
Antara yang disentuh adalah mengenai bidang pendidikan yang mana kemudahan pendidikan adalah antara persediaan penting dalam mencapai matlamat sistem pendidikan yang baik dan bermanfaat bagi pelajar-pelajar.
Pada perjumpaan tersebut juga, kedua-dua pihak berbincang mengenai bidang perundangan di kedua-dua negara.
Yang Berhormat Pehin mengongsikan bahawa selain daripada persidangan yang diadakan setiap tahun dalam membincangkan perkara utama iaitu belanjawan negara, ahli-ahli MMN juga menggunakan platform yang lain seperti sesi permuzakarahan dan lawatan bersama kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan untuk mengetahui secara lebih dekat lagi mengenai perkara-perkara strategik, dasar-dasar hal ehwal kerajaan dan pelaksanaan projek-projek yang berjalan dan dalam perancangan.
Dengan adanya interaksi tersebut, ia sangat membantu dan memperlihatkan kesepaduan ahli-ahli MMN dengan pihak kementerian dalam sama-sama membangun negara dan mencapai matlamat dan wawasan negara.
Kedua-dua belah pihak merakamkan rasa penghargaan atas hubungan kerjasama yang terjalin sejak sekian lamanya dan berharap ia akan sentiasa berkembang dan dapat diperkukuhkan lagi melalui pertukaran lawatan dan kerjasama dalam bidang-bidang yang sedia ada dan pada masa akan datang.