Kunjungan hormat erat kerjasama

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MAC – Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, menerima kunjungan hormat daripada Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak (KWKPK), Sarawak, Puan Yang Terutama Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah, pada petang ini bertempat di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Kunjungan hormat bertujuan untuk meningkatkan kerjasama dua hala dan hubungan erat yang telah lama terjalin di antara Negara Brunei Darussalam dan Negeri Sarawak.

Semasa kunjungan tersebut, kedua-dua belah pihak telah bertukar-tukar pandangan dan berkongsi pengalaman dalam perkara yang berkepentingan berkaitan dengan bidang tugas dan tanggungjawab kedua-dua pihak, khususnya hal ehwal kesejahteraan, kebajikan dan pembangunan masyarakat.

Rombongan juga disertai oleh timbalan pesuruhjaya tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Nadia Azura Mohd Nudri yang juga merangkap penasihat kedutaan dan ketua canseri; Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, PYT Hajah Rosey binti Haji Yunus; dan Ahli Majlis Pendidikan Awal Kanak-kanak Sarawak (MPAKS), Dato Dr. Adi Haji Badiozaman Tuah. Turut hadir semasa kunjungan Setiausaha Tetap di KKBS, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), KKBS, Dayang Saidah binti Wahid @ Burut, serta pegawai-pegawai kanan dari kedua belah pihak.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika menerima kunjungan daripada Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK), Sarawak.