Oleh Nurdiyanah R.
Gambar serahan Jab. Majlis-majlis Mesyuarat
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 FEB – Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib telah menerima dua kunjungan hormat daripada perwakilan asing di negara ini secara berasingan di Bangunan Dewan Majlis, Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat hari ini.
Yang Berhormat Pehin telah menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Turkiye ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Profesor Dr Hamit Ersoy dan Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Ambra Dickie.
Hadir sama pada kunjungan itu ialah Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar.
Semasa kunjungan hormat TYT Profesor Dr Hamit Ersoy, kedua-dua belah pihak telah membincangkan beberapa isu semasa yang menjadi keprihatinan bersama. Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN turut menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah berikutan bencana gempa bumi yang berlaku di Turkiye baru-baru ini.
Beliau yakin bahawa rakyat Turkiye akan dapat mengharungi keadaan yang sukar tersebut dengan penuh kesabaran dan ketabahan. Tuan Yang Terutama juga merakamkan rasa terima kasih atas perasaan simpati yang dizahirkan oleh rakyat Negara Brunei Darussalam dan di atas doa-doa yang dihulurkan bagi mangsa yang terbabit dalam bencana tersebut.
Tuan Yang Terutama juga menyatakan hasrat untuk mengadakan lawatan ahli parlimen kedua-dua negara yang disambut baik oleh Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN.
Negara Brunei Darussalam dan Republik Turkiye mempunyai hubungan kerjasama yang erat dalam pelbagai bidang terutamanya perdagangan, pelancongan, pendidikan, kebudayaan, kesukanan dan keselamatan.
Sementara itu, dalam kunjungan hormat berasingan, Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN mengucapkan tahniah di atas pelantikan PYT Ambra Dickie sebagai Pesuruhjaya Tinggi Kanada yang baharu ke Negara Brunei Darussalam dan mengungkapkan rasa penghargaan di atas hubungan dua hala yang rapat di antara kedua-dua buah negara, terutamanya dalam bidang pendidikan.
Mereka turut membincangkan hal-hal kepentingan bersama seperti mengenai perubahan iklim, kesihatan mental dan digitalisasi.
Kedua-dua belah pihak juga bertukar-tukar pandangan dalam beberapa perkara yang berkaitan dengan pembangunan negara serta berharap hubungan di antara kedua-dua buah negara akan sentiasa berkembang dan dapat diperkukuhkan lagi melalui kerjasama dalam bidang-bidang yang sedia ada dan yang akan datang.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN turut mendoakan kejayaan beliau di sepanjang tempoh perkhidmatannya di Negara Brunei Darussalam.