Kunjungan muhibah Speaker Perak

Oleh Syazwani Haji Rosli

Gambar oleh Rahwani Zahari

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 DIS – Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haij Mohamed Taib hari ini, telah menerima kunjungan muhibah daripada Speaker Perak, Datuk Ngeh Koo Ham.

Semasa kunjungan di dewan majlis itu, speaker Perak turut diiringi oleh 11 orang ahli rombongan Dewan Undangan Negeri Perak dan Jawatankuasa Perintah Tetap Negeri Perak. Turut hadir mengalu-alukan delegasi dari Perak ialah Setiasaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis-majlis Mesyuarat, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar dan beberapa orang ahli MMN. Kunjungan muhibah tersebut mengukuhkan lagi hubungan antara Brunei dan Negeri Perak dalam membincangkan perkara-perkara berkepentingan dan kebimbangan bersama serta bertukar-tukar amalan baik.

Pertemuan itu juga mengetengahkan mengenai sistem teknologi majlis mesyuarat dan proses persiapan hansard mesyuarat. Perbincangan itu memberikan gambaran mengenai perubahan-perubahan dalam penggunaan teknologi daripada permulaan hingga kini yang menunjukkan bahawa banyak perubahan telah dijalankan dalam mengikuti trend-trend teknologi semasa dan terkini.

Selepas pertemuan itu, delegasi dari Perak turut berpeluang melawat Dewan Persidangan Majlis Mesyuarat, tempat persidangan MMN diadakan setiap tahun.

Delegasi juga telah mengadakan lawatan ke Pusat Sejarah Brunei untuk melihat lokasi persidangan MMN pada 1951 sebelum dipindah ke Bangunan Lapau, kemudian ke Dewan Majlis pada masa ini. Datuk Ngeh Koo Ham dan delegasi berada di negara ini bagi lawatan rasmi selama tiga hari.

Gambar ramai Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara dan Speaker Perak bersama ahli rombongan.