Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Kunjungan perkukuh kerjasama

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar serahan UNISSA

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menerima kunjungan rombongan pegawai dari Kesultanan Oman, hari ini.

    Rombongan tersebut telah diketuai oleh Penasihat kepada Menteri Pendidikan bagi Pendidikan Media dan Ketua Pejabat Menteri Pendidikan, Kesultanan Oman, Dr Saeed bin Saif Al Ameri bersama Penyelaras Program Tadreeb Al-Mu’allim dan Ketua Jabatan Pembangunan Kurikulum Bahasa Arab, Hamed Al-Rajibi. Hadir bagi mengalu-alukan rombongan berkenaan ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal di mana beliau menyambut baik kehadiran delegasi tersebut dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kerjasama padu yang diberikan daripada Kesultanan Oman khususnya dalam memperkasakan lagi penguasaan Bahasa Arab kepada bukan penuturnya.

    Sehubungan itu, salah satu tujuan lawatan berkenaan dilaksanakan adalah bagi meneroka dan memperkembangkan lagi kerjasama yang akan dilaksanakan khususnya program-program yang ditawarkan oleh pihak UNISSA.

    Menurut kenyataan yang dikongsikan oleh UNISSA, universiti berkenaan mempunyai hubungan strategik yang rapat dengan Kesultanan Oman sejak tahun 2015 khususnya dengan Fakulti Bahasa Arab. Jalinan hubungan ini diperkukuhkan lagi dengan tertubuhnya Oman Publication Corner yang ditempatkan di Perpustakaan UNISSA.

    Selain itu, UNISSA juga telah menghantar beberapa orang pelajar mengikuti program kursus pendek di Sultan Qaboos College dan Kursus Pengajian Setahun di Luar Negara di Sultan Qaboos University dalam bidang akademik pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab. Walau bagaimanapun, penghantaran pelajar tersebut terhenti disebabkan situasi dunia yang dilanda oleh pandemik COVID dan UNISSA begitu menaruh harapan tulus agar penghantaran pelajar ke Kesultanan Oman ini akan dapat diteruskan lagi.

    UNISSA dan Kedutaan Kesultanan Oman di Negara Brunei Darussalam pernah bekerjasama mengadakan Perkhemahan Bahasa Arab Serantau Pertama sempena Sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia yang melibatkan penyertaan daripada luar negara. Menerusi lawatan berkenaan telah dimuatkan dengan sesi perbincangan antara kedua-dua pihak sebelum diakhiri dengan penyampaian cenderahati kenangan yang disampaikan oleh Dr Haji Norarfan kepada ketua rombongan.

    Turut hadir ialah penolong-penolong rektor, pengarah Pusat Perhubungan Awam dan Antarabangsa, dekan Fakulti Bahasa Arab dan pegawai-pegawai Unit Program Ta’zeez Al-Lughah Al-‘Arabiah Bil Madaris Al-‘Arbiah, Pejabat Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

    Gambar ramai rombongan pegawai Kesultanan Oman dan kakitangan UNISSA pada majlis berkenaan.
    Dr Haji Norarfan menyampaikan cenderahati kepada Dr Saeed pada majlis tersebut.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...