Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Kunjungan pertingkat peluang kerjasama

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JAN – Rombongan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) yang diketuai oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan, selaku Naib Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) telah berlepas meninggalkan Negara Brunei Darussalam kelmarin bagi membuat kunjungan muhibah dan rundingan kerjasama di Republik Singapura hingga 7 Februari.

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas, bagi mengucapkan selamat belayar ialah Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang serta pengarah-pengarah dan ketua bahagian KHEU.

    Kunjungan muhibah dan rundingan kerjasama akan dibuat antara KHEU bersama Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam (BTHMUI) Negara Brunei Darussalam dengan Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Hal Ehwal Agama), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) serta anak syarikatnya dan dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan Persatuan Ulama dan Guru-guru Agama Islam Singapura (PERGAS).

    Sesi kunjungan muhibah dan rundingan kerjasama antara KHEU bersama BTHMUI dengan agensi-agensi berkenaan di Malaysia dan Republik Singapura adalah dalam usaha KHEU untuk memperkemas dan merealisasikan fokus strategik jaminan keselamatan dan kesejahteraan sosial dalam Rancangan Strategik KHEU 2020-2024 serta mempertingkatkan integrasi rangkaian dan peluang kerjasama dalam bidang berkaitan zakat, wakaf, wasiat dan Baitul Mal.

    Ahli-ahli rombongan terdiri daripada para pegawai dari KHEU iaitu Pengarah Perundangan Islam, Haji Hardifadhillah bin Haji Mohd Salleh; Pemangku Setiausaha MUIB, Haji Abdul Aziz bin Haji Akop selaku Ketua Kerja, dan Ketua Bahagian Pentadbiran dan Bahagian Mesyuarat di Jabatan MUIB, Awang Ariffin bin Dato Paduka Haji Abu Bakar.

    Turut menyertai rombongan ialah Ketua Pejabat Pembiayaan, Jabatan Perbendaharaan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Haji Mohd Aidil Yusrie bin Haji Shari selaku wakil ahli Kumpulan Fokus bagi Projek Pemerkasaan Wakaf, KHEU.

    Manakala itu, BTHMUI diwakili oleh Pengarah, Haji Noor Hadi bin Haji Noor Kaseh; Pengurus Kewangan Kanan, Seksyen Kewangan, Dayang Siti Norhamizah binti Haji Abdul Hamid; Pengurus Seksyen Pelaburan, Perdagangan dan Pemasaran, Dayang Siti Norhafizah binti Haji Abu Bakar dan Pengurus Seksyen Pelaburan, Perdagangan dan Pemasaran, Awang Mohammad Adika bin Mohammad Yusof.

    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bersama pegawai lain sebelum berlepas bagi kunjungan muhibah dan rundingan kerjasama di Republik Singapura baru-baru ini. – Gambar serah-an KHEU

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...